Sayu : Identiti 4 sekeluarga maut kemalangan ngeri di jalan Segamat-Kuantan malam tadi (8Gambar)

Rompin: Empat beranak maut, tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 106 Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.50 malam itu, Pemandu MPV, Mohd Zaki Mamat, 47, isterinya, Jamilah Hussen, 46, serta dua anak mereka Muhammad Zamil Izuddin, 17, dan Muhammad Zamil Syazwan, 14, meninggal dunia di tempat kejadian.






Dua lagi anak Mohd Zaki, Siti Nurjeha, 18, Siti Nur Nabilah, 10 dan pemandu kereta, Zulkifli Abdullah, 47, parah.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, enam beranak yang menaiki MPV jenis Proton Exora itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Merlimau, Melaka ke Kelantan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, tayar kiri bahagian hadapan Proton Exora pecah menyebabkannya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Honda Civic yang dipandu Zulkifli.

"Pertembungan itu menyebabkan empat mangsa di dalam Proton Exora meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang serta Zulkifli parah," katanya.

Katanya, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk menerima rawatan.

Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-HM