Al-Quran jubah telkong dalam keadaan baik walau maahad tahfiz rentung terbakar (4Gambar)

SABAK BERNAM : Guru dan pelajar di Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi, Batu 40, di sini, terkejut menemui kira-kira 15 al-Quran dan kitab hadis dalam keadaan baik meskipun bangunan maahad itu rentung terbakar pagi, semalam.

Pengetuanya, Mohd Sharif Musa berkata, kitab suci itu ditemui ketika pelajar dan guru mencari barang kelengkapan lain yang boleh diselamatkan, malangnya semuanya hangus dijilat api kecuali al-Quran dan hadis.

Menurutnya, sebahagian al-Quran dan kitab hadis yang ditemui itu masih dalam keadaan elok, bagaimanapun terdapat kesan kebakaran pada kulit depan dan belakang al-Quran tanpa menjejaskan isi kandungannya.


"Kebesaran yang ditunjuk ALLAH pada hari ini (semalam) apabila kami menemui kitab al-Quran dan hadis yang masih sempurna kandungannya walaupun kebanyakan barangan rentung terbakar," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Sharif berkata, al-Quran dan hadis itu ditemui di pejabat dan bilik koperasi selain beberapa helai jubah dan barangan kelengkapan solat juga turut ditemui masih dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih lagi dalam proses mencari dan mengesan sisa-sisa bahan kebakaran berbentuk tulisan termasuk al-Quran dan hadis yang terbakar untuk dikumpul bagi proses pelupusan.

"Bahan berbentuk tulisan ini akan kita serahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sharif berkata, pihaknya memerlukan jutaan ringgit bagi menampung kos pembinaan semula bangunan itu selepas pejabat, bili guru dan tiga bilik asrama terbakar dalam kejadian berkenaan.

"Bangunan yang dibina sejak tahun 80-an ini tak boleh digunakan dan terpaksa dirobohkan semula atas faktor keselamatan. Kita memerlukan dana besar bagi kos bina semula dan baikpulih beberapa prasarana lain," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, pelajar akan ditempatkan sementara di dewan serbaguna dan surau maahad itu, manakala selebihnya akan dipindahkan ke bilik asrama yang masih selamat dalam kejadian itu.

"Keadaan ini mungkin kurang selesa kepada pelajar tetapi kita harap mereka sabar dengan ujian ini. Kita harap dengan adanya sumbangan orang ramai dapat bantu mempercepatkan pembinaan bangunan baru maahad ini," katanya.

Jelas beliau, maahad yang mempunyai seramai 103 pelajar dan lapan tenaga pengajar itu memerlukan sumbangan daripada mana-mana pihak bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung pihak pengurusan sekolah terbabit.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pihak yang ingin menghulur bantuan boleh menyalurkan sumbangan mereka ke nombor akaun Maybank Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi Batu 40 (562094050271).