Sayu : Saya redha .. WhatsApp terakhir bincang bulan madu ..kini tinggal lah barang ini sebagai kenangan (3Gambar)

Klang: Pemandu van sekolah yang mati dibelasah bapa saudara seorang murid di Sungai Udang di sini, berkongsi perasaan terujanya dengan tunangnya menjelang perkahwinan mereka bulan ini, termasuk bertanyakan lokasi bulan madu mereka melalui pesanan WhatsApp terakhir beberapa jam sebelum kejadian yang meragut nyawanya petang semalam.

Tunangnya, Siti Umi Kalthum Md Sopian, 32, berkata Mohd Izhharuddin Nordin, 24, tidak menelefonnya seperti kebiasaan semalam, sebaliknya mereka berbual melalui WhatsApp.

“Biasanya arwah menghubungi saya setiap hari tetapi tidak berbuat demikian semalam.

"Ketika kami berbual melalui Whatsapp, arwah berkongsi rasa terujanya menjelang perkahwinan kami,” 

kata anak kelima daripada sembilan beradik itu yang ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Delek pagi tadi.

Menurutnya, beberapa jam selepas itu, dia mendapat panggilan telefon daripada kakaknya memberitahu ternampak seorang lelaki memandu van sekolah membawa murid sekolah agama, terbaring di tepi jalan ketika kakaknya itu melalui lokasi kejadian.

“Saya yang memang sudah berasa tidak sedap hati sejak beberapa hari lalu, menghubungi bapa arwah (Nordin Mat, 40) bertanyakan keadaan tunang saya itu pada 7.30 malam untuk pengesahan.

"Luluh hati apabila dimaklumkan lelaki itu adalah Mohd Izhharuddin lalu terus bergegas ke tempat kejadian," katanya yang sudah hampir tiga tahun menjalin hubungan dengan tunangnya itu.

Menurut Siti Umi Kalthum, mereka bakal melangsungkan perkahwinan pada 20 Februari ini manakala majlis pihak lelaki pada 28 Februari.

“Persiapan perkahwinan sudah 80 peratus dibuat, termasuk pihak lelaki sudah mengedarkan kad jemputan,” katanya.

Guru KAFA itu berkata, dia sudah seminggu berdebar-debar, tidak sedap hati, gelisah dan sukar tidur pada waktu malam.

"Biasanya jika saya berasa seperti itu, ada perkara buruk bakal berlaku,” katanya,

Bagi Siti Umi Kalthum, tunangnya memiliki ciri lelaki yang diidamkannya, termasuk peribadi yang baik, mudah senyum dan berperwatakan lembut.

"Dia lebih banyak menghabiskan masa di surau dan masjid," katanya yang pasrah dengan kejadian malang itu.

Sementara itu, ibu arwah, Hasniza Ahmad, 48, berkata anaknya sudah tiga tahun bekerja sebagai pemandu van.

“Mohd Izhharuddin prihatin dan sayangkan budak. Setiap kali menghantar pulang murid ke rumah masing-masing, dia akan pastikan semua yang pergi dan pulang bersamanya, cukup.

"Jika ada yang kurang, dia patah balik ke sekolah dan mencari murid yang lambat keluar kelas.

"Kejadian semalam sepatutnya boleh diselesaikan dengan baik, bukan sebaliknya.

Kami sekeluarga reda biarpun sukar menerima terima hakikat. Saya harap orang melakukan perbuatan itu akan mendapat hukuman sewajarnya,” ," katanya yang ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini.-HM