Sayu : Budak 11 tahun maut digilis .. hembus nafas terakhir disisi ibu

Sungai Petani : Kegembiraan dua sahabat berusia 11 dan 15 tahun menunggang motosikal berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut selepas kenderaan terbabit merempuh pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Kota Kuala Muda -Pantai Merdeka,disini,semalam.

Kejadian berlaku jam 4 petang, mangsa Muhamad Ikhwan Ahmad Kamal, 11, membonceng rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Permatang Katong, di sini.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda EX5 ditunggang rakan mangsa Muhammad Syukri Suib, 15, dipercayai gagal mengelak pacuan empat roda yang membrek secara mengejut lalu merempuh belakang kenderaan itu.

Akibat rempuhan itu, Muhamad Ikhwan terpelanting dan jatuh ke laluan bertentangan sebelum digilis kereta dari arah hadapan selepas gagal mengelak.

Kejadian itu menyebabkan Muhamad Ikhwan parah di kepala dan tubuh sebelum dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya hanya cedera ringan, namun pemandu kereta yang melanggar mangsa melarikan diri.

Ibu Muhamad Ikhwan Rozana Othman, 36, berkata, sebelum kejadian rakan anaknya datang ke rumah mereka jam 3.30 petang untuk mengajak mangsa keluar bersama dengan menunggang motosikal.

Katanya, ketika itu arwah membaca buku dan dia menyangka mereka berdua mungkin pergi di kawasan taman perumahan sahaja sebelum dimaklumkan rakan bahawa anaknya terbabit kemalangan di Kota Kuala Muda.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan terus mendapatkan anak yang terbaring di tengah jalan. Sayu hati melihat keadaan Muhamad Ikhwan yang parah di kepala dan badannya.

“Ketika itu arwah masih bernyawa, namun dia meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal dinaiki mangsa dan rakannya terlanggar belakang kenderaan di hadapan menyebabkan Mohamad Ikwan terpelanting ke laluan bertentangan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat. Polis meneruskan siasatan dan pemandu kenderaan terbabit diminta tampil membuat laporan di Balai Trafik Sungai Petani bagi membantu siasatan,” katanya. -HM


1 ulasan:

Lagi Gambar ...
Jom Terjah !! >>> CLICK HERE !!<<<

Reply