Ustaz kasanova diburu JAWI kerana kahwin lapan wanita

Kuala Lumpur : Seorang lelaki yang digelar Ustaz Kasanova kini diburu pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persektuan (Jawi) selepas gagal mematuhi proses jaminan Bahagian Penguatkuasaan Jawi dan hilang tanpa kesan.
Mohd Razis Ismail, 33, dikehendaki selepas gagal hadir menyambung proses jaminan pada 29 Oktober 2015 atas kesalahan pernikahan sindiket dan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.
Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya berkata, siasatan mendapati suspek telah berkahwin tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan undang-undang dan hukum syarak serta tidak mendaftarkan perkahwinan dan penceraiannya.
"Suspek mempunyai lapan isteri tanpa prosedur perkahwinan yang sah dan bersekedudukan dengan wanita terakhir sejak 2012 sehingga dikurniakan dua anak luar nikah.
"Dia yang berperwatakan seperti ustaz menggunakan status bujang untuk menipu mangsa sehingga berkahwin dengan menyasarkan golongan penuntut wanita institusi pengajian tinggi yang memiliki paras rupa dan juga janda yang mempungai pendapatan bagi menampung hidupnya," jelas Paimuzi pada sidang akhbat di sini sebentar tadi. - K! ONLINE