Mayat Mohamad Ikwan Sauri, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2 ditemukan terapung di dalam sungai terbabit oleh orang awam kira-kira pukul 9 pagi.

Difahamkan, kanak-kanak ter­babit tidak memaklumkan kepada keluarga ketika keluar pada Jumaat lalu dan laporan polis berhubung kehilangan mangsa dibuat pada keesokan harinya.



Ibu mangsa, Rosita Ismail, 39, yang tinggal di Kawasan Perindustrian Gua Musang di sini berkata, anaknya itu tidak pernah mandi sungai sebelum ini kerana tidak tahu berenang.

Malah katanya, kawasan tempat tinggal mereka juga jauh dari su­ngai tersebut.

“Saya tidak sangka anak saya mati lemas. Mungkin Mohamad Ikwan mandi di Sungai Ketil yang terletak di bandar ini selepas di­ajak rakan sekampung sebelum dihanyutkan sehingga ke Sungai Nenggiri di Kampung Bertam.

“Mungkin rakan-rakannya menyembunyikan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang hari ini.

Pada 6 November, lalu sekitar pukul 2 petang, Mohamad Ikwan yang ditinggalkan di rumah bersama kakaknya telah keluar dan tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang.

Menurut Rosita, apabila dia pulang ke rumah, anak perem­puannya memaklumkan Moha­mad Ikwan tidak pulang dan terus mencarinya di sekitar kawasan rumahnya.

Ujarnya, selepas usaha mencari yang turut dibantu penduduk kampung gagal, dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang pada pagi keesokan harinya.

“Saya reda dengan kejadian menimpa anak saya itu dan berasa bersalah kerana gagal menjaga keselamatan Mohamad Ikwan,” katanya.

Tambah Rosita, dia mengecam mayat Mohamad Ikwan berdasarkan seluar jeans yang dipakai anaknya itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ahmad Nordin Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat itu pada pukul 9.02 pagi.

“Sebanyak empat anggota telah bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja mengangkat mayat yang terapung itu sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai pe­nemuan mayat di Sungai Nenggiri dan mayat terbabit telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. -UTUSAN