Sayu : Ajal dua sahabat lemas diperigi lama dalam lopak air diladang sawit (4Gambar)

BESUT : Dua kanak-kanak lemas dalam sebuah perigi lama yang terletak di sebuah kebun kelapa sawit, berhampiran rumah mereka di Kampung Alur Belanga, Alor Keladi, Jerteh pada petang semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, mangsa Mohd. Nabil Nuriman Mohd. Lazim, 9, dan Muhammad Amirul Hakim Syahrul Azman, 7, dipercayai bersama seorang lagi rakannya, Muhammad Izul Apiq Amirozi, 8, telah bermain di satu kawasan lopak air dalam kebun itu, kira-kira 100 meter dari rumah Mohd. Nabil Nuriman.
"Ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak menyedari bahaya bermain air di kawasan itu sebelum mereka terjatuh ke dalam perigi yang sama paras dengan lopak air," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, Muhammad Izul Apiq yang berjaya menyelamatkan diri meminta pertolongan daripada bapanya yang bergegas mengeluarkan kedua-dua mangsa dari perigi itu serta meminta anak lelakinya itu pergi memberitahu kejadian tersebut kepada bapa Mohd. Nabil Nuriman sekitar pukul 5 petang.
"Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Besut namun telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk rawatan.
Mohd. Nabil Nuriman merupakan pelajar kelas Program Pendidikan Khas Intervensi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Keladi, Jerteh manakala Muhammad Amirul Hakim dari SK Kampung Nangka, Kuala Besut.
Menurut Khaled, siasatan mendapati paras air perigi yang tidak dipagar itu didapati meningkat lebih empat meter akibat daripada hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lalu.
Perigi lama itu masih digunakan oleh pemilik kebun sawit untuk mendapatkan sumber air bagi tujuan pertanian terutama pada musim panas.
Sementara itu, bapa Mohd. Nabil Nuriman, Mohd. Lazim Muhammad, 44, ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Besut berkata, anak kelima daripada sembilan adik-beradik itu makan tengah hari bersamanya di rumah sebelum mangsa keluar tanpa disedari untuk bertemu dua rakannya itu.
Katanya, beliau terkejut apabila seorang daripada rakannya yang terselamat datang ke rumahnya untuk memaklumkan yang anaknya itu lemas di perigi lama tersebut. Al fatihah - Bernama