Sayu : Pengorbanan wanita ini disaat diri nya diperlukan mengujakan pasangan nya

Petaling Jaya: “Inilah yang terbaik buat kami walaupun akad nikah ini diadakan tidak seperti majlis orang lain, namun saya rasa lega dan bersyukur.

“Pernikahan ini menghalalkan saya sebagai isteri untuk sentiasa berada di sisinya dalam keadaan dia amat memerlukan saya,” demikian kata Amrina Rasyada Imran, 25, yang selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Ahmad Murshid Makhtar, 28, semalam.

Ahmad Murshid yang mengalami kecederaan serius selepas terbabit kemalangan Rabu lalu dan kini sedang dirawat di Hospital KPJ Damansara di sini, bernikah dengan Amrina bagi memudahkan wanita itu menjaga suaminya di hospital memandangkan keluarga Ahmad Murshid menetap di Pulau Pinang.

Pasangan itu yang mengikat tali pertunangan April lalu sepatutnya melangsungkan majlis perkahwinan pada 12 Disember depan, namun tarikh berkenaan terpaksa dipercepatkan kepada semalam berikutan keadaan Ahmad Murshid yang patah paha kanan selain mengalami kecederaan di kaki dan bahagian mata akibat motosikal berkuasa tinggi ditungganginya terbabit kemalangan di Jalan raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2).

Dalam kejadian malam Rabu lalu, Ahmad Murshid dikatakan sedang menunggang motosikal berkuasa tinggi dari Damansara ke Ampang. -HM