info - Raya hampir tiba " Duit Raya " tradisi atau kemestian ?

BAGI kanak-kanak di Malaysia, peluang mengumpul duit raya masih ada sepanjang bulan Syawal diraikan oleh pelbagai pihak terutama sahabat handai kaum keluarga dan juga badan-badan koprat.

NAK makan kuih raya atau nak salam saja ? tanya penulis kepada sekumpulan kanak-kanak kecil yang bertandang ke rumah pada pagi 1 Syawal yang lalu.

Kami nak salam,  kata kanak-kanak itu serentak dengan nada penuh yakin.

Selepas sahaja setiap seorang menerima sampul hijau cantik, mengandungi dua keping RM1 yang masih baru dan keras, kanak-kanak itu terus menghilangkan diri sepantas mana mereka muncul tadi.

Senario itu adalah sesuatu yang lumrah di hari raya dan kumpulan kanak-kanak kecil seperti itu biasa dilihat di kawasan perumahan, 'mencari' duit raya daripada penghuni-penghuni di situ.

Malah, suasana yang sama turut berlaku di kampung-kampung apabila segerombolan kanak-kanak yang datang ke rumah tidak menjamah makanan, sebaliknya sekadar meneguk minuman.

Sebaik sahaja minuman habis, tanpa berlengah mereka terus bersalam untuk 'menyambut' sampul duit raya daripada tuan rumah sebelum beredar ke rumah jiran yang lain pula.
Bagi mereka Aidilfitri adalah musim mengumpul 'duit raya', Masih teringat suasana berhari raya empat dekad yang lampau. Penulis begitu gembira menerima duit raya sebanyak 50 sen, satu angka yang memang besar bagi kanak-kanak berumur lapan tahun. 

Ketika itu, kadar biasa bagi duit raya untuk kanak-kanak adalah antara 20 sen hingga 50 sen. Sesiapa yang menerima duit raya RM1 dianggap sungguh bertuah.
Kanak-kanak hari ini pula agak keberatan menerima RM1 sebagai duit raya. Sungguhpun begitu, angka itu masih dianggap sebagai sesuai.
Memberi duit raya sudah menjadi tradisi masyarakat Melayu pada setiap hari raya, bukan hanya untuk kanak-kanak yang berkunjung dari rumah ke rumah, tetapi memang disediakan untuk anak-anak sendiri, anak saudara kecil dan remaja serta cucu.
Bagi anak-anak dewasa pula, mereka akan menghulurkan duit raya kepada ibu bapa yang sudah tua.

Di kampung-kampung, pemberian duit raya bermula pada malam hari raya, apabila kanak-kanak yang mengikuti rombongan takbir raya dari rumah ke rumah, diberikan duit raya yang dikumpul hasil kutipan daripada setiap tuan rumah di mana kumpulan itu singgah bertakbir.
Kalau dahulu, wang syiling berkilat menjadi tarikan duit raya, kini wang kertas yang baru dan masih keras diutamakan, bak kata orang, 'masih berbau kedai'.
Bank-bank dan syarikat besar banyak membantu mempelbagaikan corak, saiz dan warna sampul kecil untuk digunakan mengisi duit raya, yang diedarkan secara percuma kepada pelanggan dan pengguna perkhidmatan mereka. 


Lain pula bagi orang dewasa. Cari 'duit raya' bermaksud mencari sumber kewangan tambahan untuk menyambut hari raya. Ini kerana perbelanjaan biasanya meningkat dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri seperti membeli juadah dan juga pakaian.

Selain itu, keghairahan mencari duit raya umpama 'rezeki terpijak' bagi sesetengah orang yang dirangsang dengan pelbagai pertandingan atau kuiz yang diadakan oleh stesen radio dan televisyen serta pasar raya.
Bagi stesen radio, mereka mendapat tajaan untuk menawarkan wang tunai kepada pendengar melalui beberapa kuiz yang mereka adakan.
Di pasar raya pula, pertandingan duit raya diadakan bertujuan menarik pelanggan dan meningkatkan jualan.

Sesetengah organisasi atau badan korporat juga memilih untuk mengagih-agihkan duit raya lebih awal iaitu pada majlis berbuka puasa anjuran mereka untuk warga emas, anak yatim, anak daripada keluarga miskin, orang kurang upaya dan ibu tunggal.

Pendek kata, duit raya boleh dinikmati oleh semua golongan di Malaysia.

Memberi duit raya sebenarnya bukanlah sesuatu yang wajib dan bukan juga budaya dalam kalangan umat Islam, menurut pensyarah sosiologi dan antropologi, Dr. Azmeer Borhan.

Kalau tidak silap saya, di negara-negara di Asia Barat, memberi duit raya bukanlah satu budaya. Kalau adapun, ia terbit dari rasa ingin memberi, kata beliau.

Namun kata Dr. Azmeer, ramai yang mahu memberi duit raya dalam bulan Ramadan kepada fakir miskin dan mereka yang tidak bernasib baik sebagai menambah amalan kebajikan pada bulan puasa.

Menjadi satu kebaikan untuk menggembirakan orang. Dengan memberi duit raya, ia sudah tentu dapat membuat orang gembira pada musim Aidilfitri.

Berapa jumlah sebenarnya tidak penting. Niat untuk memberi dan juga pemberian itu yang lebih bermakna, kata beliau.

Bagi kanak-kanak di Malaysia, peluang mengumpul duit raya masih ada selagi bulan Syawal diraikan. Ini kerana pada kebiasaannya, rumah-rumah terbuka anjuran individu dan badan korporat menyediakan sampul istimewa itu untuk tetamu kecil mereka. - Bernama ( Gambar Hiasan )