[ Sukan ] Tiada laluan mudah untuk JDT malam ini !

KELANTAN tidak akan memberi laluan mudah kepada Johor Darul Takzim pada pertemuan Liga Super di Stadium Larkin, meskipun 'tempang' tanpa beberapa tonggak utama ekoran kecederaan dan penggantungan.

Penolong jurulatihnya, Mohd. Hashim Mustapha berkata, Kelantan menyasarkan untuk meraih mata pada perlawanan tersebut dalam usaha mencari kedudukan terbaik dalam carta Liga Super sebelum saingan musim ini berakhir pada minggu hadapan.
"Jadi, tiada istilah laluan mudah kepada mereka, biarpun Bojan Hodak sebelum ini pernah membimbing Kelantan mungkin mengetahui kelemahan yang ada pada The Red Warriors.
"Kita akan bermain mati-matian bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kelantan," katanya kepada Kosmo di sini semalam.
Kelantan kehilangan dua tonggak utamanya iaitu Wan Zahahrul Nizam Wan Zakaria dan Mohd. Fitri Omar yang mengalami penggantungan akibat mengumpul kad kuning.
Selain itu, Kelantan turut kehilangan khidmat pertahanan kental, Mohd. Farisham Ismail yang mengalami kecederaan selepas pertemuan dengan Selangor Selasa lalu.

Mohd. Hashim memberitahu, keadaan ketua pasukannya Mohd. Badhri Razdi pula masih menjadi tanda tanya apabila pemain berkenaan dilaporkan turut mengalami kecederaan.
"Keadaan Mohd. Badhri masih lagi jadi tanda tanya, dia tidak ikut serta pasukan ke Johor Baharu hari ini (semalam) dan kemungkinan besar dia diterbangkan ke Johor esok (hari ini)," ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Fakri Saarani yang luka di bahagian dahi pada pertemuan dengan Selangor tempoh hari akan menjadi sandaran utama Kelantan pada perlawanan itu nanti. Kosmo!