Kejam - Janin bayi di buang dalam beg di di Empangan Sungai Kulim !

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki terkejut apabila bungkusan kain yang disangka sampah yang ditemui di pintu air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) empangan Sungai Kulim, Guar Perahu di sini mengandungi janin bayi.
   
Lelaki itu, yang lalu di kawasan berkenaan menemui janin itu pada 2.45 petang tadi, kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan perkara tersebut.
   
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, ketika ditemui, janin bayi yang cukup sifat itu dibungkus dengan kain putih.
   
"Keadaan janin itu sudah berwarna biru dan kita percaya janin itu dibuang lebih daripada 24 jam, setakat ini, identiti dan bangsa tidak dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi hari ini.
   
Rusli juga berkata semasa pihaknya menjalankan siasatan di kawasan penemuan janin itu, polis menemui mayat seorang lelaki dipercayai warga asing terapung di empangan berkenaan.

Beliau berkata mayat itu, yang dibungkus dengan kain pelikat, ditemui kira-kira 50 meter daripada janin berkenaan.
   
"Pasukan forensik telah menjalankan siasatan awal dan mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan mangsa dipercayai dibuang di empangan berkenaan lebih 24 jam berdasarkan keadaan mayat," katanya.
   
Rusli berkata janin dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
   
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung janin dan mayat lelaki berkenaan agar menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama