[ info ] Peniaga KESAL dituduh suspek bunuh anggota Polis !

NAK LIHAT VIDEO KLIK SINI

GEORGETOWN : Dua peniaga hari ini menafikan dakwaan mereka terlibat dalam kes anggota Unit Rondaan Bermotosikal Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, yang meninggal dunia selepas motosikalnya dirempuh kereta penjenayah di Parit Buntar, Perak 26 Mei lepas.
Peniaga pakaian, Azhar Ramli, 40, berkata beliau berada di rumahnya di Taman Cenderawasih, Butterworth dekat sini ketika kes itu berlaku dan terkejut apabila diberitahu gambarnya tersebar meluas di laman sosial sebagai suspek yang dikehendaki polis sehari selepas kejadian.

Adik ipar (lelaki) saya yang beritahu. Dalam Whatsapp dan Wechat pun orang ada sebar juga. Paling menyedihkan ialah apabila pengguna facebook dan bloggers hentam, maki hamun dah ugut kami macam-macam, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu peniaga barangan lusuh Mohd Nizam Ali Hassan, 39, berkata walaupun laporan polis telah dibuat pada 27 Mei lepas gambar mereka terus dikongsi pengguna laman sosial dan masih menerima komen negatif berunsur ugutan sehingga ke hari ini.
Beliau berkata hidupnya kini tidak tenteram dan bimbang keselamatan keluarganya terancam apabila gambar yang tersebar turut mempunyai alamat lengkap rumahnya.
Pada 28 Mei lepas, Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan menafikan pihaknya ada mengeluarkan gambar dua peniaga berkenaan dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan terlebih dulu.
Azhar dan Mohd Nizam berkata mereka mengenali antara satu sama lain sejak kecil dan hairan bagaimana boleh dikaitkan dengan kes itu sedangkan mereka mendakwa tidak pernah memiliki kereta Toyota Wish seperti digunakan penjenayah terbabit.
Mereka berdua turut meminta pihak berkuasa menyiasat jika terdapat penglibatan pihak polis sendiri dalam penyiaran gambar berkenaan dan mempersoalkan bagaimana maklumat peribadi sedemikian boleh didedahkan sewenang-wenangnya. – BERNAMA ( Harian Metro )