Hiburan - Filem The Red Warriors jadi tarikan !

KOTA BHARU : ‘The Red Warriors The Movie’ bakal menemui peminat penghujung tahun ini, menampilkan barisan pemain TRW dalam filem itu, di samping beberapa pelakon utama sebagai tarikan baharu dalam dunia bola sepak Kelantan.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, penggambaran filem tersebut telah bermula sejak dua minggu lalu dan akan berjalan dalam masa dua bulan sehingga selepas Aidilfitri ini.

Kita harap produk terbaharu Red Warrior ini akan siap dalam masa tiga bulan dan boleh ditayangkan kepada umum pada penghujung tahun ini.

Pada mulanya, saya tidak yakin dan tidak menyangka bola sepak boleh difilemkan, berdasarkan skripnya ia bukan menceritakan bola sepak semata-mata, malah jalan ceritanya menarik berkisarkan kepada kemasyarakatan menggunakan bola sepak sebagai latar belakang dalam kehidupan masyarakat Kelantan, katanya.
Ia turut menyelitkan pelbagai peristiwa yang berlaku, rusuhan penyokong dan elemen kemasyarakatan yang akhirnya memberi impak positif dalam masyarakat yang menyatukan semua walaupun berbeza pangkat, darjat dan latar belakang.

Semua pemain turut berperanan dalam filem ini dan ada juga dihantar ke kelas lakonan termasuk Wan Zack Haikal dan Zairol Fitrie yang  mengikuti kelas lakonan  dikendalikan oleh Fauziah Nawi.

“Penggambaran juga turut merakamkan perlawanan sebenar antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad V pada 13 Julai ini, katanya.