[ Terkini ] Coklat Cadbury halal - Majlis Fatwa Kebangsaan ?


PUTRAJAYA: Hukum produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi adalah seperti hukum asalnya iaitu 'halal dimakan', demikian menurut Fatwa Majlis Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata ia termasuk dalam kategori keadaan 'Umum al-Balwa', iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.

“Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai HALAL tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah telah memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai 'Umum al-Balwa'.

"Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesan dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam mengandungi DNA babi atau porsin.

DNA babi dikesan dalam sampel coklat susu dengan kacang Hazel bernombor kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan coklat susu dengan buah badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015.

Abdul Shukor berkata umat Islam yang termakan coklat itu juga tidak perlu ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan tidak perlu menyamak perut, mulut atau menukar darahBerita Penuh di Awani " Klik "