[ Sukan ] Piala FA : Lupakan kekalahan terus berjuang - Piya !

KAPTEN The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi menggesa rakan sepasukannya kembali fokus terhadap persiapan pasukannya bagi menentang Felda United FC pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata, kekalahan tipis 0-1 kepada T-Team pada saingan Liga Super harus segera dilupakan kerana mereka mempunyai tugasan lebih penting untuk memastikan Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.

“Kekalahan kepada T-Team sebenarnya tidak menjejaskan tumpuan kami. Yang lalu (kalah) biarkan berlalu dan saya mahu rakan-rakan memberi tumpuan dalam latihan kurang daripada seminggu ini sebelum berdepan Felda United FC.

“Ya, saya tahu Felda United FC bukanlah calang-calang pasukan yang mudah untuk dikalahkan.

“Mereka telah membuktikannya di Kota Bharu (separuh akhir pertama) apabila mendahului 3-0 sebelum kita bangkit mengikat keputusan seri 3-3,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pada aksi separuh akhir pertama di Kota Bharu, 6 Mei lalu, skuad kendalian George Boateng mempamerkan kebangkitan luar biasa mengikat keputusan seri 3-3 setelah ketinggalan 0-3 dalam tempoh 36 minit sepanjang babak pertama perlawanan itu.

Jeneral padang berusia 32 tahun itu bagaimana pun tidak gentar dengan kehebatan Felda United FC, malah menyifatkan beraksi di Stadium Shah Alam tidak membawa sebarang kelebihan buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

“Sama saja bagi Kelantan bermain di sana. Stadium Shah Alam ibarat stadium kedua buat Kelantan kerana kami mempunyai kelompok ribuan penyokong setia yang sentiasa berada di belakang pasukan setiap kali bermain di Lembah Klang,” katanya.

Malah perancang tengah berkaliber itu turut membakar semangat rakan-rakannya apabila memberitahu, peluang Kelantan untuk mara ke pentas final kali keempat berturut-turut masih terbuka biarpun Felda United FC dilihat ada kelebihan berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

“Kami pergi ke sana untuk mendapatkan kemenangan tetapi satu perkara yang perlu diingatkan, kami tidak boleh terlalu yakin. Kami kena fokus untuk memastikan keputusan perlawanan yang masih berbaki 90 minit itu menjadi milik Kelantan,” katanya.Sinar


1 ulasan:

baca jer sebab tak minat bola...

Reply