[ info ] ‘Kami sudah tiada pilihan lagi’ - Waris MH370 !

Beijing: “Sudah tentu saya tidak mahu pergi tetapi apa boleh buat, saya tiada pilihan lain,” kata Yan Jiacheng, 60, bapa kepada penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Selepas hampir dua bulan menginap di Hotel Lido susulan kehilangan pesawat berkenaan, Jiacheng akhirnya meninggalkan bilik hotel yang dikongsi bersama saudara terdekat penumpang warga China lain.
Dia memutuskan untuk pulang ke rumahnya di Yancheng, wilayah timur Jiangsu, sejauh 800 kilometer dari ibu negara China itu, berikutan Penerbangan Malaysia (MAS) tidak lagi menaja penginapan saudara penumpang di Beijing.
Bagi Jiacheng, dia masih menyimpan harapan supaya anak lelaki bongsunya Yan Ling, 30, pulang ke rumah dalam keadaan selamat, yang pasti membawa kegembiraan tidak terhingga buat mereka sekeluarga.
Kali terakhir kami meluangkan masa bersama ketika Ling pulang ke rumah sempena Tahun Baru Cina, hujung Januari lalu, Mungkin penumpang pesawat berkenaan sudah mati.
Saya mengagak saja, tapi saya juga tak berani menyatakannya kepada keluarga saya,” katanya sambil mengaku tidak sanggup menerima jika Tahun Baru Cina tiga bulan lalu menjadi sambutan terakhir mereka bersama.
Jiacheng bagaimanapun kelihatan teruja sewaktu memberitahu mengenai majikan Ling yang memaklumkan, anaknya pekerja cemerlang dan jurutera berkebolehan.
Katanya, Ling bekerja untuk syarikat peralatan perubatan di Haidian, Beijing dan berkunjung ke Malaysia bersama rakan sekerja untuk kursus jangka pendek tajaan majikan.
Mengimbas kembali ketika menerima berita kehilangan Ling bersama pesawat MH370 daripada teman wanita anaknya pada 8 Mac lalu, Jiacheng berkata, dia mengambil keputusan ke Beijing atas saranan majikan Ling.
Akibat ketiadaan penerbangan ke Beijing di lapangan terbang berdekatan waktu itu, Jiacheng terpaksa membeli tiket kereta api berdiri yang memakan masa lebih 24 jam untuk sampai ke ibu negara berkenaan.
Saya ke sini (Beijing) bersama anak lelaki saya yang juga abang Ling, isteri saya terpaksa menunggu di Yancheng saja disebabkan dia mengalami masalah kesihatan, katanya.
Ling seorang daripada 153 penumpang China dalam penerbangan MH370 yang berlepas ke Beijing dari Kuala Lumpur pada awal pagi 8 Mac lalu, menjadikan rakyat China sebagai dua pertiga daripada jumlah keseluruhan penumpang. Credit HM