[ Hot ] Taylor Swift disaman langgar hak eksklusif jenama !

Los Angeles: Keghairahan Taylor Swift terhadap nombor 13 nampaknya merugikan dia sendiri kerana menyebabkan disaman sebuah syarikat pakaian California atas dakwaan melanggar hak eksklusif jenama.
Nombor 13 sudah lama digunakan sebagai tanda dagangan berdaftar oleh syarikat Blue Sphere Inc bagi rangkaian pakaian dan aksesori bertema rock ‘n’ roll era 1950-an selama 20 tahun sebelum muncul pada 2012 melalui barangan rasmi Taylor.
Dalam kenyataan kepada Mahkamah Daerah Orange, Blue Sphere mendakwa pihak pengurusan dagangan dan pelesenan Taylor hanya mengutamakan jenama sendiri tanpa mempedulikan hak harta intelek pihak lain.
Pada 2009, Taylor, 24, memberitahu MTV dia menganggap nombor 13 sebagai angka bertuahnya kerana sering berdepan perkara menguntungkan apabila menggunakannya. Dia pernah melukis nombor itu di tapak tangannya sebelum memulakan konsert dan memuat naik gambar itu dalam Twitter menggunakan akaun @taylorswift13. 
Blue Sphere meminta injunksi dari mahkamah untuk melarang Taylor menggunakan nombor itu bagi barangan jenamanya, selain menuntut ganti rugi dan pemulihan keuntungan serta yuran undang-undang.
Pada 2010, Taylor - mengungguli senarai artis paling kaya dengan pendapatan AS$40 juta (RM130 juta) - berjaya memenangi kes paten jenamanya ke atas 16 orang yang menjual barangan palsu. - AFP