[ Terkini ] Penculik hubungi keluarga pelancong China - Esscom

KOTA KINABALU : Kumpulan penculik yang bertanggungjawab menculik dua wanita warga asing di Singamata Resort, Semporna pada Rabu lalu telah menghubungi keluarga salah seorang mangsa.
Ketua Pengarah Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mentek ketika dihubungi mengesahkan, kumpulan terbabit telah menghubungi keluarga kepada pelancong dari China itu.
Bagaimanapun katanya, kumpulan terbabit tidak menyatakan sebarang jumlah wang tebusan yang perlu dibayar untuk pembebasan mangsa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, seorang pelancong China, Gao Hua Yuan, 29, bersama seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, diculik sekumpulan lelaki bertopeng dan berbaju hitam.
Kedua-dua mangsa yang dilarikan menggunakan sebuah bot dikatakan berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di sebuah lokasi di selatan Filipina. - KOSMO!