[ Jenayah ] Pelajar perempuan di tuduh miliki 96 biji pil kuda !

Kota Bharu: Seorang pelajar tingkatan empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan memiliki 96 pil dadah jenis methamphetamine dalam kejadian pada Januari lalu.
Tertuduh yang berusia 16 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki 95 biji pil kemerahan dan satu biji pil kehijauan 8.97 gram (berat bersih) mengandungi 1.36 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Sultanah Zainab, Kampung Sireh, jam 11.15 pagi pada 12 Januari 2014.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3), akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Terdahulu, Noor Dayana mencadangkan mahkamah supaya tertuduh diikat jamin dengan RM2,500.
Tertuduh melalui peguamnya merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan masih bersekolah dan ditanggung ibu yang bekerja di kedai makan dengan pendapatan RM500 sebulan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Mei sebagai tarikh sebutan kes. Credit HM



2 ulasan

takut betol tengok budak zaman sekarang....memang terlampau berani

Reply