[ info kesihatan ] Hati-hati serangan 'strok haba' !

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia diminta berwaspada terhadap tanda-tanda awal 'heat stroke' atau 'strok haba' berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu Bernama, definisi strok haba adalah paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah celcius. Suhu normal badan manusia kira-kira 37.0 darjah celcius.

"Antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas.

"Tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam," katanya.

Dr Noor Hisham berkata suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menyatakan keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini agak tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas dan dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.

Dr Noor Hisham berkata pendedahan berpanjangan kepada cuaca dan suhu panas disamping kurang minum air dan dehidrasi badan antara punca boleh menyebabkan strok haba.

Oleh itu beliau menyarankan beberapa langkah segera untuk diambil sekiranya ada individu terkena strok haba iaitu menempatkan pesakit di tempat teduh dan berhawa dingin.

"Haba tinggi boleh dikurangkan jika individu itu ditempatkan di bawah kipas dan mengelap anggota badan menggunakan tuala basah.

"Pesakit juga mungkin boleh berendam di dalam kolam air untuk menurunkan tekanan haba dan menyejukkan badan," katanya.

Dr Noor Hisham turut meminta orang ramai mengelakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas serta minum air dalam kuantiti banyak atau sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari. - Bernama