[ Terkini ] Kelantan adakan solat hajat Jumaat ini !

KOTA BHARU 3 Feb. - Kerajaan Pas Kelantan dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) akan mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang ditahan pihak berkuasa Sweden pada hari Jumaat ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya akan meminta semua masjid di seluruh negeri untuk mengadakan solat hajat.

“Itulah cara kita mahu membantu mereka sekeluarga. Kita sangat bersimpati kepada keluarga dan anak-anak tersebut atas apa yang berlaku.

“Bagaimanapun saya akan mendapatkan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V terlebih dahulu sebelum mengadakan solat hajat itu pada Jumaat ini," katanya .

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa bersama empat anak pasangan tersebut di Wakaf Tok Wali, Melur di sini hari ini.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Md. Noor Chik berkata, pihaknya akan mengadakan lawatan setiap minggu bagi memastikan empat beradik tersebut berada dalam persekitaran yang baik.

Beliau berkata, lawatan itu perlu bagi menghantar laporan kepada ibu pejabat JKM sebelum diserahkan ke Wisma Putra.

“Dari segi kewangan, kita percaya penjaga adik-beradik tersebut tidak mempunyai sebarang masalah.

“Jadi kita akan memberi bantuan dalam bentuk kaunseling bagi menstabilkan emosi mereka dengan persekitaran baharu," katanya.sumber



1 ulasan:

semoga pasangan ini dapat juga pulang ke Malaysia dalam waktu terdekat ni...

Reply