[ Sukan ] Insiden Larkin : 17 saksi dipanggil beri keterangan !

MARANG - Polis Terengganu telah memanggil seramai 17 saksi termasuk pengadu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan yang membabitkan pasukan T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) dalam terowong menuju ke bilik persalinan di Larkin, minggu lepas.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, kesemua yang dipanggil itu terdiri daripada para pemain dan pegawai T-Team yang berada di lokasi ketika insiden tersebut berlaku.

"Kes ini sebenarnya disiasat oleh (Ibu Pejabat Polis) Bukit Aman sebab ia melibatkan dua negeri (Terengganu dan Johor).

"Bagaimanapun, berkaitan dengan pengadu-pengadu yang berada di Terengganu dan saksi-saksi yang terlibat, kita telah panggil di sini (ibu pejabat polis kontinjen Terengganu) untuk memberi keterangan.

"Setakat ini, sudah 17 orang yang dipanggil termasuk pengadu sejak laporan polis dibuat (tengah malam 2 Februari lalu). Jadi, sekarang kita akan bagi keutamaan kepada Bukit Aman. Kita, polis Terengganu cuma membantu siasatan mereka," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Larkin, Johor Bahru pada 1 Februari lalu, pemain impot T-Team kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan mereka, Stefano Impagiazzo mendakwa telah dikasari ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama. - sumber