[ Sukan ] Bojan Hodak ganti Jimenez jadi jurulatih JDT ?

KUALA LUMPUR - Perlawanan Johor Darul Ta’zim menentang Kedah dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman malam tadi berkemungkinan adalah yang terakhir buat jurulatih skuad Harimau Selatan, Cesar Ferrando Jimenez.

Desas-desus semakin kuat mengatakan jurulatih dari Sepanyol itu bakal digantikan oleh bekas jurulatih Kelantan dan UPB-My Team F.C, Bojan Hodak selewat-lewatnya minggu hadapan, walaupun beliau menafikannya sebelum ini.

Sumber yang rapat dengan pihak pengurusan JDT memberitahu, Hodak menjadi pilihan utama pihak pengurusan PBNJ bagi membimbing JDT hingga akhir musim ini tetapi punca mengapa Jimenez ditamatkan kontrak lebih awal masih belum dapat dipastikan.


Bojan Hodak akan menggantikan Jimenez, itu keputusan yang dikhabarkan sudah pasti dan perlawanan menentang Kedah di Stadium Darul Aman akan menjadi yang terakhir buat Jimenez bersama JDT.

“Kelebihan Bojan memahami budaya dan bahasa pemain di sini mungkin menjadi faktor pemilihan jurulatih dari Croatia itu untuk dipilih sebagai jurulatih baharu JDT tetapi mengapa khidmat Jimenez ditamatkan saya tidak pasti," kata sumber berkenaan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Bojan dikelilingi kanak-kanak memakai jersi JDT ketika beliau menyaksikan perlawanan JDT II dengan PBAPP FC di Stadium Pasir Gudang pada 14 Februari lalu, dengan ditemani bekas pemain kebangsaan dan Johor, Serbegeth Singh yang menguatkan spekulasi Bojan akan melatih sama ada JDT atau JDT II.

JDT II yang dibimbing oleh Azmi Mohamad ketika ini terumbang-ambing apabila hanya menang dua daripada lima perlawanan.

Jimenez, 54, merupakan jurulatih berpengalaman luas dan pernah mengendalikan beberapa kelab ternama di Sepanyol seperti Atletico Madrid, Albacete dan Elche.

Jika benar khidmatnya ditamatkan oleh JDT, dia hanya sempat mengendalikan Harimau Selatan sebanyak lapan perlawanan, iaitu lima dalam Liga Super dan tiga perlawanan Piala FA.sumber