[ Kejam ] Suami hantuk kepala isteri ke dinding kerana selisih faham !

KUALA TERENGGANU - Seorang suami layak digelar dayus apabila tanpa perikemanusiaan membelasah isterinya dipercayai hanya kerana perselisihan faham kecil yang berlaku di antara pasangan itu sebelum ini.

Tidak cukup dengan itu, suspek yang berusia 28 tahun turut tergamak menghantuk kepala mangsa, 24, di dinding, dalam kejadian di Hospital Setiu, kelmarin.

Menurut sumber, sebelum kejadian, lebih kurang jam 12 tengah hari, mangsa yang berasal dari Kampung Saujana, Bandar Permaisuri, Setiu, telah ke Hospital Setiu bertujuan menziarahi anak mereka yang sedang sakit dan ditahan diwad.

“Sebaik tiba di tingkat bawah hospital, mangsa telah terserempak dengan suspek bersama adik ipar perempuannya, namun tanpa menyimpan sebarang syak, mangsa hanya berlagak selamba seperti tiada sebarang masalah yang berlaku di antara mereka berdua sebelum ini.

“Bagaimanapun, suspek yang masih tidak berpuas hati dan menaruh dendam telah bertindak menghampiri mangsa sebelum menyepak kaki kiri dan kanan mangsa sebanyak dua kali,” katanya.

Jelas sumber lagi, tidak cukup dengan itu, suspek terus menampar pipi kiri mangsa tanpa menghiraukan orang awam yang berada di situ.

“Mangsa yang mengambil keputusan untuk tidak melawan kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan serta malu kepada orang awam yang berada di situ terus meninggalkan suspek dan menuju ke tingkat dua untuk berjumpa dengan anak mereka,” katanya.

Namun kata sumber, lebih kurang jam 2.15 petang, suspek yang masih tidak berpuas hati telah pergi menemui mangsa di tingkat dua sebelum memanggil masuk ke satu bilik dengan memberi alasan untuk berbincang secara baik menyelesaikan perselisihan faham itu.

“Mangsa hanya mengikut arahan dan semasa berbincang dengan ditemani adik ipar perempuannya itu, secara tiba-tiba suspek sekali lagi naik angin sebelum bertindak mengangkat mangsa lalu menghantukkan kepalanya ke dinding.

“Adik ipar perempuan mangsa juga turut masuk campur dengan menarik mangsa sebelum menampar muka mangsa beberapa kali,” katanya.

Bengang diperlakukan sedemikian, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Permaisuri, Setiu, beberapa jam selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian. (Gambar Hiasan) tq