[ info ] Muhdalena menghidap penyakit mental kemurungan psikotik - Pakar

PUTRAJAYA: Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin diberitahu bahawa bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Muhdalena Ahmad berkongsi delusi dengan lelaki yang mendakwa dirinya 'Imam Mahadi'.

Pengarah dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik Hosital Bahagia, Ulu Kinta, Dr Rabaiah Mohd Salleh, 58, berkata Muhdalena menghidap penyakit mental kemurungan psikotik dan pada hari kejadian emosinya tidak stabil.
Pesakit (Muhdalena) berkawan dengan Khalil Afendi Abd Hamid melalui Internet dan terpengaruh dengan pemikiran Khalil Afendi," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes Muhdalena yang menghadapi empat pertuduhan berhubung kejadian amuk di perkarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dua tahun lepas.
Dr Rabaiah berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Muhdalena, suaminya dan kenyataan beramaran Muhdalena, pada pandangannya Khalil Afendi merupakan orang utama yang menghidap sejenis penyakit mental yang serius, kemungkinan schizophrenia atau manic.
Pesakit mencari ketenangan jiwa. Dia (Muhdalena) terpengaruh dengan ideologi Khalil Afendi dan pada hari kejadian, apa yang dilakukannya (Muhdalena)disebabkan dia taksub dengan kepercayaan yang dibawa Khalil Afendi, katanya.
Dr Rabaiah berkata pada masa kejadian, Muhdalena dalam keadaan tidak waras dan tidak sedar akan akibat perbuatannya disebabkan gejala psikosis. BERNAMA