[ info ] Hukum melabur dalam ASB, ASN 'Harus' - Majlis Fatwa !

KUALA LUMPUR: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada Jumaat menegaskan bahawa hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah 'Harus'.
Ini termasuk dividen atau bonus yang diterima menerusi kedua-dua skim pelaburan itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Abd Shukor, Jawatankuasa Fatwa amat kesal kerana terdapat pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan keraguan dengan memuat naik surat daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menyatakan skim tersebut sebagai tidak patuh Syariah.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu tuntutan Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (Comango) mengenai hukum melabur dalam ASB dan AS Nyang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.
Tahun lepas, Comango menghantar laporan mengenai pelbagai isu hak asasi manusia di Malaysia untuk diteliti dalam Proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland.
Antara tuntutan lain ialah menuntut hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender.
Status melabur dalam ASN dan ASB yang juga dibangkitkan oleh beberapa penceramah di laman-laman sosial, turut menimbulkan keresahan kepada masyarakat awam.
"Isu pelaburan ini merupakan perkara ijtihad, yang sememangnya akan mengundang polemik dan perdebatan jika semua pihak yang mendakwa sebagai pakar mahu menegakkan pandangan masing-masing tanpa menghiraukan peranan pihak yang diberi autoriti dalam menentukan hukum.
"Sewajarnya mereka yang melabelkan diri sebagai intelektual Islam ini memahami isu ini secara menyeluruh dan hak-hak Ulil Amri kerana akibat daripada sikap mereka yang gemar dan sengaja mempertikaikan hukum yang telah dibuat, telah menimbulkan keresahan yang meruncing dalam kalangan umat Islam," katanya.
Abd Shukor menyifatkan tindakan itu hanya akan merugikan umat Islam sendiri.
Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menasihatkan supaya provokasi yang melibatkan hukum hakam dihentikan supaya tidak mengundang kekeliruan. - BERNAMA