[ Terkini ] Sekolah ranap dilanda limpahan banjir lumpur !

TAMPARULI: Kira-kira 50 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, dekat sini, nyaris maut apabila satu daripada tiga blok bangunan sekolah berkenaan ranap akibat dilanda limpahan banjir lumpur, hari ini.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, murid tahun satu, lima dan enam yang belajar dalam satu blok sama berada di bilik darjah masing-masing. 
Bagaimanapun, semua murid terbabit terselamat selepas pengawal yang bertugas di sekolah itu, Saminah Kijuh, 49, menyedari kejadian berkenaan sebelum menjerit meminta mereka meninggalkan bilik darjah dengan segera. 
Sebelum kejadian, seorang penduduk datang memaklumkan pada saya, ada tanda tanah dari arah bukit di belakang sekolah itu akan runtuh, kata Saminah yang berada kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
"Berikutan itu, saya menjerit meminta guru dan murid sekolah terbabit, mengosongkan segera bilik darjah masing-masing untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku
"Tidak sampai lima minit guru dan murid meninggalkan bilik darjah, kejadian tanah runtuh berlaku diikuti banjir lumpur yang meranapkan bangunan bilik darjah kelas agama, bengkel dan kantin sekolah itu," katanya ketika ditemui, hari ini. 

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dialami guru dan murid sekolah yang berusia lebih 50 tahun itu. 

Difahamkan, kejadian berpunca hujan lebat berterusan lebih 36 jam lalu itu adalah yang kedua selepas peristiwa sama pernah menjejaskan SK Bawang pada 2005. 

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) Kiwoi, Jamairin Rosman, memaklumkan SK Bawang terpaksa ditutup sementara, selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Tuaran, mengesahkan tanah pada bukit berhampiran tidak kukuh, yang mungkin boleh menyebabkan runtuhan baru.sumber