[ Terkini ] Nasib pembunuh pegawai AmBank 10 feb ini !

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 10 Feb depan sebagai tarikh pengurusan kes terakhir bagi kes bunuh pegawai operasi dan rompakan bersenjata di cawangan Ambank Subang Jaya.
Pendaftar Mahkamah Tinggi Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di depannya pada Jumaat.
Peguam S.Selvi, yang dilantik Kedutaan Indonesia mewakili La Ode Ardi Rasila, berkata tarikh itu diputuskan bagi membolehkan pihak pembelaan memperoleh dokumen berkaitan laporan kimia, salinan kamera litar tertutup serta memutuskan mahkamah tinggi yang akan mendengar kes berkenaan.
Beliau berkata peguam S.Prakash akan menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.
La Ode Ardi, 36, dihadapkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 19 Nov lepas atas dua pertuduhan iaitu membunuh Norazita Abu Talib, 37, dan melakukan rompakan serta melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian mangsa di dalam bangunan Ambank di Subang Jaya antara 6 dan 6.30 petang, 23 Okt lepas.
Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan. Majistret K.B Elina Hong Tze Lan memerintahkan kedua-dua kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi di sini selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan. BERNAMA