[ Jenayah ] Lelaki rakam video wanita mandi didakwa !

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Seorang pegawai eksekutif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan merakam video seorang suri rumah yang sedang mandi tanpa berpakaian di sebuah kondominium, empat hari lalu.

Izwar Efendi Taswar, 32, didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap wanita berusia 20 tahun itu menggunakan telefon bimbit dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan lelaki berkenaan di tingkap bilik air sebuah rumah di Kondominium Bayu Tasik 2, Bandar Sri Permaisuri dekat sini, pukul 11.52 pagi, 11 Januari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Tan Siew Ping mengemukakan pertuduhan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh yang berkaca mata, memakai baju T merah dan berseluar hitam paras betis tidak diwakili peguam, namun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa.
Turut hadir semasa prosiding tersebut ialah suami mangsa.

Terdahulu, Siew Ping mencadangkan jaminan RM10,000 dan syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa dan keluarganya serta pasport diserah kepada mahkamah.

Rakan tertuduh yang tampil sebagai penjaminnya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan berkenaan.

Majistret Saifulakmal Said kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam bela.

Selasa lalu akhbar melaporkan seorang lelaki yang merupakan pekerja di sebuah syarikat insurans merakam video jiran wanitanya sedang mandi dalam bilik mandi di sebuah rumah di Kondominium Bayu Tasik 2, Bandar Sri Permaisuri.

Wanita itu yang menyedari perbuatan lelaki terbabit telah memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya.

Hasil laporan polis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kondominium itu memaparkan perbuatan seorang lelaki iaitu jiran mangsa yang menetap di bangunan sama.sumber