[ info ] Wanita mengilai jam 4 pagi di PD !

Port Dickson: “Lepaskan saya, saya nak menari, jangan pegang saya… tolonglah,” kata seorang wanita berusia awal 20-an yang secara tiba-tiba diserang histeria ketika tidur di dalam sebuah khemah di Batu 4, Jalan Pantai, di sini, awal pagi semalam.
Wanita terbabit yang mengikut teman lelakinya menyertai Pertandingan Bola Sepak Pantai Sepanjang Malam anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), mengejutkan orang ramai yang menyaksikan perlawanan itu apabila diserang histeria dan menari ‘ulik mayang’ pada jam 4 pagi.
Wanita berkenaan yang kemudian meraung sekuat hati dan berlari seperti mengejar sesuatu menyebabkan perlawanan terhenti seketika dan beberapa pengunjung terpaksa menenangkan wanita itu.
Saksi kejadian, Yusri Hassan, 35, berkata, sebelum kejadian dia sedang menyaksikan perlawanan bola sepak yang diadakan sempena sambutan tahun baru 2014.
Katanya, ketika asyik menonton perlawanan, tiba-tiba terdengar suara wanita mengilai seperti dirasuk daripada khemah berhampiran menyebabkan 100 penonton panik.
“Akibatnya, beberapa pengunjung menyerbu ke khemah wanita itu dan menyaksikannya dalam keadaan dirasuk,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.
Wartawan yang berada di lokasi kejadian membuat liputan perlawanan itu turut terkejut apabila mendapati wanita berkenaan tiba-tiba meracau.
Ada beberapa individu cuba menenangkan wanita itu, tetapi dia meraung supaya dilepaskan kerana ingin membuat tarian ulik mayang.
“Tolong lepaskan saya, jangan pegang, saya nak menari,” rayu wanita berkenaan kepada orang ramai dan kemudian membuat tarian berkenaan.
Bagaimanapun, selepas 10 minit ditenangkan pengunjung selain dibacakan ayat suci al-Quran, wanita berkenaan kembali tenang namun masih lemah.sumber