[ info ] Isu penyanyi bertudung Marinatasha telah selesai !



KUALA LUMPUR – Castmet Sdn. Bhd. (Castmet) mendakwa isu diskriminasi yang didakwa dilakukan oleh syarikat itu terhadap wanita bertudung membabitkan penyanyi tempatan, Marinatasha Isnariah Mustapar pada minggu lalu telah selesai.

Castmet dalam satu kenyataan media memberitahu, penyelesaian berhubung isu itu dicapai menerusi satu sesi perjumpaan tertutup selama lebih satu jam yang diadakan di antara Marinatasha dengan Pengarah Kewangan Castmet, Shannon Yong semalam.

“Banyak perkara mengenai kejadian itu terungkai terutama kesilapan maklumat yang diberikan oleh Pengurus Acara dari Red On Black, Mohd Solih Toha dan ketua band Rufus, Ahmad Nazri Rusly (kepada Marinatasha) pada malam kejadian hingga menyebabkan salah faham.

“Kekeliruan berlaku kerana syarikat pengurusan acara menjanjikan artis lain (membuat persembahan pada malam itu) sementara Rufus yang dianggotai oleh pemuzik-pemuzik bebas telah membawa Marinatasha sebagai penyanyi wanita mereka,” kata kenyataan itu hari ini.

Kata kenyataan itu, dalam pertemuan tertutup di pejabat Castmet di Plaza Damas, Sri Hartamas, kedua-dua pihak saling bermaafan dan menyifatkan insiden yang berlaku adalah akibat salah faham.

Kedua-dua mereka turut mencapai kata sepakat untuk menamatkan isu tersebut kerana dikhuatiri boleh menimbulkan keresahan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara.

Pengarah Urusan Castmet, Tan Keh Wah dalam kenyataan sama turut menegaskan syarikat pemaju perumahan itu tidak pernah mengamalkan perkauman sejak syarikat itu ditubuhkan.

Marinatasha sebelum ini mendakwa dia didiskriminasi oleh Castmet kerana bertudung apabila diarahkan turun dari pentas ketika dia sudah bersedia untuk memulakan persembahan bersama band Rufus sempena majlis makan malam syarikat di Dewan Roof Lounge Sime Darby Convention Centre Bukit Kiara di sini pada 18 Januari lalu.

Marinatasha mendakwa dia ditawarkan sebagai penyanyi utama pada malam tersebut dan bakal menyanyikan antara sepuluh hingga 15 lagu hingga acara berakhir tetapi Shannon mengarahkan dia tidak meneruskan persembahan semata-mata kerana bertudung.

Castmet bagaimanapun mendakwa, Shannon berbuat demikian kerana berpandangan penyanyi wanita yang bertudung tidak sesuai dengan majlis berkenaan dan meminta maaf kerana Marinatasha bukan penyanyi yang dijanjikan.

Namun, kata kenyataan itu, Marinatasha pula berpandangan kenyataan Shannon bahawa penyanyi bertudung tidak boleh membuat persembahan pada malam itu adalah satu diskriminasi.

Jelas kenyataan itu, Shannon sebenarnya tidak mengetahui Marinatasha akan dibawa untuk membuat persembahan pada malam itu kerana dia cuma dimaklumkan oleh Mohd Solih bahawa Marinatasha hanya penyanyi pengganti untuk sesi latihan dan raptai.

Bagaimanapun, Ahmad Nazri tanpa pengetahuan Shannon telah meminta Marinatasha menyanyikan dua buah lagu dengan bayaran penuh sebagaimana yang dijanjikan walaupun penyanyi sebenar telah menggantikan tempatnya.

“Semasa majlis makan malam bermula iaitu ketika Marinatasha telah mengambil tempat untuk persembahannya barulah Ahmad Nazri memaklumkan bahawa Shannon tetap tidak membenarkan dia membuat persembahan,” jelas kenyataan itu.


1 ulasan:

Karyawan sepatutnya menyelidik isu ini dengan lebih terperinci daripada mendengar 'rintihan' artis sahaja. Seharusnya sebelum sidang media, Karyawan menghubungi pihak yang dituduh agar mendapat liputan serta perkara yang sebenar daripada terus membuat kenyataan dengan membabitkan individu-individu dan syarikat. Karyawan sepatutnya ada Standard Operating Procedures (SOP) atas isu sebegini. 'damages have been done' kepada individu-individu dan syarikat, apakah tindakan Karyawan untuk 'merawat luka' ini?

Reply