[ Dunia ] Air busuk jadi ‘anugerah’ Golden Globe !

Hollywood: Beberapa jam sebelum acara Anugerah Golden Globes berlangsung, satu insiden menggemparkan tercetus apabila saluran paip pecah dan memancutkan air kumbahan berbau busuk di laluan karpet merah untuk bintang ternama yang hadir.
Air hitam pekat itu kelihatan bergenang berhampiran ratusan petugas media tempatan dan antarabangsa yang menunggu ketibaan bintang terkemuka Hollywood untuk mempamerkan pakaian terbaik mereka.


Petugas media kemudian meninggalkan tempat itu apabila Jabatan Bomba Beverly Hills bergegas ke sana bagi membersihkan limpahan air di depan Hotel Hilton yang popular di Hollywood itu.

Koresponden televisyen E! adalah antara petugas media yang menyaksikan kejadian itu berlaku dalam satu daripada acara selebriti yang ditunggu-tunggu.

Petugas media daripada stesen televisyen itu, Catt Sadler berkata, saluran paip yang pecah memancutkan air hitam pekat ke arah ratusan petugas media yang menunggu ketibaan selebriti Hollywood.

“Tiada hujan di Los Angeles hari ini tetapi kami dilanda banjir,” katanya.
Wartawan Access Hollywood, Billy Bush berkata air kumbahan itu menjejaskan acara karpet merah di Golden Globe kerana persekitaran berbau tengik. - AP