[ Terkini ] Tan Sri Annuar Musa lepas semua jawatan dalam bolasepak Malaysia !

KENYATAAN AKHBAR TAN SRI ANNUAR MUSA 
KENYATAAN AKHBAR TAN SRI ANNUAR MUSA, TIMBALAN PRESIDEN FAM MERANGKAP PRESIDEN KAFA.


Saya telah mengikuti dengan teliti perkembangan dan kemelut yang berlaku, khususnya antara YB Menteri Belia dan Sukan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sejak saya dilantik menganggotai Jawatankuasa Pembangunan Program Bolasepak Negara (JKPPBSN), November lalu.

Adalah ditegaskan pelantikan yang dibuat oleh YB Menteri terhadap saya, atas sifat saya selaku Ahli Parlimen Malaysia (Bersama seorang lagi Ahli Parlimen yang lain) ADALAH SAH dan tidak harus dipertikaikan. YB Menteri pada menjalankan tugas dan dengan kuasanya BERHAK melantik sesiapa sahaja mengikut budibicaranya bagi menganggotai JKPPBSN tersebut. Usaha YB Menteri melantik pelbagai pihak dan ‘stakeholders’ ini amat dialu-alukan sekali.

Adalah ditegaskan juga bahawa Jawatankuasa yang dibentuk YB Menteri adalah sebuah entiti Kerajaan yang mempunyai peranan yang lebih luas, terutama dalam konteks pembangunan bolasepak. Ia di luar SKOP DAN KUATKUASA peraturan mana-mana persatuan termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Kuasa persatuan hanya terhad kepada ahlinya serta badan gabungan dibawahnya sahaja.

Namun, saya juga memahami bahawa adalah JANGGAL bagi FAM untuk turut menduduki sebuah Jawatankuasa yang turut melibatkan individu yang mereka sendiri menghukumnya. Mereka mungkin merasa TERCABAR dengan pelantikan sedemikian. JUSTERU FAM BERPENDAPAT MEREKA TIDAK BOLEH MENYERTAI Jawatankuasa berkenaan, selagi saya menganggotai Jawatankuasa tersebut.

Bagi saya pula, sebagai Pegawai, aktivitis dan peminat yang cintakan sukan bolasepak, KEMAJUAN BOLASEPAK MALAYSIA adalah lebih penting dari segala-galanya.

Pada masa ini, tahap kemajuan bolasepak negara berada pada tahap yang bukan sahaja rendah tapi juga menimbulkan keresahan dan kekecewaan umum. Kedudukan Malaysia dalam ranking dunia bukanlah pada tangga yang selayaknya, apabila kita terperosok jauh hatta berbanding negara yang jauh lebih mundur dan tidak berkeupayaan seperti kita.

Namun, diperlihatkan bahawa PIHAK BERWAJIB seolah-olah hilang daya dan keupayaan membawa perubahan sewajarnya. Individu-individu yang ternyata gagal membawa prestasi yang diharapkan masih mahu kekal berkuasa dan menjadikan BADAN berwajib seumpama milik peribadi. Lebih parah lagi kontroversi demi kontroversi dicetuskan dan ‘goodwill’ dengan banyak pihak samalah tidak wujud. Teguran dan pandangan ikhlas ahli dan pihak lain dilayan dengan kekerasan peraturan yang tidak wajar. Urusan pentadbiran dan kewangan yang tidak telus serta semangat kekeluargaan bolasepak Malaysia semakin tidak dihiraukan. Pada masa yang sama prestasi bolasepak negara terus merudum. Pihak berwajib dilihat makin terpisah dari denyut nadi lagi ahlinya serta para peminat bolasepak Malaysia.

Di saat bolasepak negara berada dalam situasi demikian, inisiatif berani yang diambil oleh YB Menteri datang tepat pada masanya. Bolasepak negara bertuah kerana YB Menteri dan Kerajaan menunjukkan komitmen dan ‘will’ yang tinggi untuk memajukan bolasepak. Lebih penting lagi, buat pertama kalinya ‘diagnosis’ serta ‘prescription’ bagi menyembuhkan penyakit kurang upayanya bolasepak Malaysia dibuat atas inisiatif pemerintah. Bagi saya ini adalah satu langkah yang AMAT PENTING dalam usaha menjadikan bolasepak negara cemerlang di masa akan datang.

Mengambil kira semua perkara di atas dan setelah memikirkan dengan mendalam DEMI KEMAJUAN BOLASEPAK NEGARA, saya merasakan TIDAK RELA diri saya dijadikan alasan terutamanya oleh Badan Induk Bolasepak (FAM) untuk tidak berfungsi atau menjalankan tanggunggjawabnya untuk memberikan kerjasama kepada Kementerian Belia dan Sukan.

Saya juga tidak rela melihat usaha kerajaan terutama YB Menteri yang sangat murni dan penting terutama untuk melaksanakan satu ‘Blueprint’ yang saya percaya akan merubah ‘DNA’ dan ‘BRAND’ bolasepak Malaysia terjejas, semata-mata kerana FAM tidak mahu menyertainya.

Justeru demi untuk melihat Jawatankuasa ini berfungsi sepenuhnya dan melihat Kerajaan dapat berkerjasama sebaik mungkin dengan FAM, maka saya mengambil keputusan berikut:-

1. Dengan sukarela menarik diri dari mengganggotai JKPPBSN berkuatkuasa hari ini, bagi membolehkan FAM menyertainya.

2. Melepaskan Jawatan saya sebagai Timbalan Presiden FAM dan Presiden Bolasepak KAFA berkuatkuasa dari tarikh hukuman dikenakan ke atas saya dan saya bukan lagi pegawai badan tersebut atau mana-mana ahlinya.

Walau bagaimanapun saya akan terus membantu bolasepak negara amnya dan bolasepak Kelantan khususnya atas sifat saya sebagai Wakil Rakyat dan juga seorang peminat sukan ini.

Semoga dengan tindakan saya ini segala kemelut dan kekeruhan yang berlaku antara FAM dan KBS khususnya YB Menteri menjadi jernih, serta semua pihak akan erat berkerjasama demi KEMAJUAN BOLASEPAK NEGARA.

“MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA”

Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa
Ahli Parlimen Ketereh
13 Disember 2013

Demi Bolasepak Malaysia Tan Sri Sanggup berkorban , satu kehilangan besar dalam Bolasepak Negara dengan perletakan Jawatan Tan Sri , Selamat Maju Jaya Tan Sri.