[ Terkini ] Emas bernilai RM700,000 dilarikan dari kedai emas di Sungai Chua Kajang !



Kuala Lumpur, 27 Dis - Empat lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi melarikan 10 dulang barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM700,000 dalam masa dua minit sahaja dari sebuah kedai emas di Sungai Chua, Kajang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Dearah Kajang Supt Abdul Ghani Mohamad Ji berkata kejadian berlaku pada pukul 4 petang di premis berkenaan yang terletak di dalam sebuah pasar raya.

"Ketika kejadian, terdapat dua pekerja. Pada ketika itu, salah seorang suspek melepaskan satu das tembakan ke dalam kedai yang mengenai cermin kalis peluru.

"Seorang lagi memecahkan cermin pameran dengan tukul besi dan melarikan 10 dulang barangan kemas," katanya di tempat kejadian.

Abdul Ghani berkata kesemua mereka memakai topi keledar bertutup penuh dan jaket.

Polis akan menjalankan siasatan lanjut berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebelah kedai emas itu yang dapat merakam kesemua pergerakan suspek ketika melarikan diri, katanya. - BERNAMA (Gambar Hiasan)