[ Sukan ] Nasib TRW, resah tanpa aksi persahabatan !

KETIKA pasukan lain rancak mengatur aksi persahabatan, nasib berbeza dialami The Red Warriors yang sehingga kini masih gagal menemui ‘rakan sepelatih’ lebih sesuai untuk perlawanan kompetitif.

Situasi tersebut jelas menggusarkan pengendali pasukan, Steve Darby yang mengakui sedikit resah dalam menguji kombinasi barisan pemainnya menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Darby berkata, beliau sememangnya memerlukan beberapa aksi persahabatan setelah pertemuan menentang Terengganu yang sepatutnya berlangsung di Kuala Terengganu pada minggu lalu dibatalkan.

“Jujurnya, ia kelihatan seperti serius (tanpa aksi persahabatan). Kami memang bercadang untuk ke Indonesia bagi menyertai satu kejohanan di sana tetapi keputusan mengenainya hanya akan diketahui hari ini (semalam).

“Jika tak dapat ke Indonesia, kami perlu memikirkan alternatif lain. Kita akan cuba mengatur perlawanan dengan Brunei atau pun kelab dari Thailand,” katanya kepada Sinar Harian pada sesi latihan di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Pasir Tumbuh, semalam.

Pada sesi tersebut, kelibat penyerang import, Francis Forkey Doe tidak kelihatan kerana difahamkan mempunyai urusan di ibu negara manakala Mohammed Ghaddar sekadar menjalani latihan ringan akibat kecederaan pangkal paha.

Menurut pengendali berusia 58 tahun itu, beliau boleh memilih untuk mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan amatur namun itu bukanlah satu tindakan bijak bagi merencana persiapan pasukannya menghadapi saingan liga domestik musim depan.

“Yang penting ialah perlawanan, bukannya keputusan yang menjadi ukuran. Aksi persahabatan cukup penting kepada pemain-pemain muda kerana saya lihat sudah ada peningkatan dalam kalangan mereka sejak berlatih awal bulan ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Darby yang mengambil alih tugas dari Bojan Hodak berkata, beberapa pemainnya yang mengalami kecederaan sudah menunjukkan perkembangan positif untuk pulih sepenuhnya menjelang aksi perlawanan pertama Liga-M pada 18 Januari depan.

“Saya percaya Poknik (Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim), Mohamad Ab Aziz Ismail dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria mampu pulih lebih cepat dan kembali bersaing dengan rakan sepasukan lain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.sumber