[ Sukan ] Kelantan nafi spekulasi bawa masuk Afiq Azmi !

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menafikan khabar angin bahawa penyerang Selangor Muhammad Afiq Azmi bakal menyertai The Red Warriors musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn. Bhd., Kelvin Ramalinggam berkata, KAFA tidak pernah membuat rundingan untuk mendapatkan khidmat pemain berkenaan.
Menurut Kelvin, pihaknya menyerahkan kepada ketua jurulatih Kelantan, Stave Darby untuk membuat keputusan siapakah yang akan menjadi pemain ke-25, sekali gus melengkapkan senarai penuh The Red Warriors.
"Saya nafikan sekeras-kerasnya perkara ini. Untuk melengkapkan senarai pemain ke-25 ini, KAFA lebih memberikan peluang kepada pemain skuad Piala Presiden.
"Lagipun tarikh akhir pendaftaran pemain akan tamat pada 17 Disember ini dan kita memberikan peluang sepenuhnya kepada jurulatih untuk membuat keputusan.
"Darby akan buat keputusan untuk pilih pemain di posisi manakah yang diperlukan oleh Kelantan dalam usaha memperkuatkan lagi pasukan," katanya semalam.
Khabar angin mengenai kehadiran Afiq ke Kelantan bertiup kencang melalui laman sosial Facebook milik penyokong setia The Red Warriors.
Namun, difahamkan Afiq masih mempunyai kontrak bersama Selangor.
Sebagai rekod, Afiq pernah beraksi bersama Kelantan sebagai pemain pinjaman untuk saingan Piala Malaysia musim 2012.
Dalam perkembangan lain, Kelvin memberitahu, Kelantan akan menjalani persiapan pramusim di utara tanah air memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu di Pantai Timur.
"Antara lokasi persiapan The Red Warriors ialah Pulau Pinang, Perak dan Kedah," jelasnya.sumber