[ Terkini ] Sukan Sea 2013 "'Anggap sahaja provokasi wujud " - OKS

PENGENDALI Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee menuntut kekuatan mental anak-anak buahnya bagi berdepan sebarang provokasi yang cuba dicetuskan tuan rumah Sukan SEA 2013, Myanmar.
Belum pun sepak mula Kumpulan A temasya dwitahunan itu berlangsung di Stadium Zayyarthiri, Nay Pyi Taw pada 10 Disember depan, skuad kendalian Kim Swee dilihat telah diduga terlebih awal apabila perlu beraksi seawal pukul 3 petang (waktu Myanmar) dalam kesemua aksi peringkat kumpulan.
Justeru, Kim Swee mahu barisan pemainnya supaya tidak terlalu selesa dengan reputasi selaku juara bertahan memandangkan apa jua provokasi boleh berlaku di bumi Myanmar nanti.
“Kalau tiada baguslah... cuma saya mahu pemain bersedia pada bila-bila masa.
“Walaupun belum tentu ada (perang psikologi), anggap sahaja provokasi sedemikian wujud dan menanti kami di Myanmar nanti.
“Sekurang-kurangnya, ia akan membantu menguatkan mental pemain sepanjang di sana,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Pada masa sama, Kim Swee juga tidak menolak kemungkinan kehilangan sebahagian besar pemain skuad 2011 kali ini.
“Dengan krisis kecederaan pemain ketika ini, mungkin ramai pemain lama terpaksa digugurkan kali ini.
“Namun, saya enggan terburu-buru membuat keputusan berhubung senarai akhir 20 pemain ke Myanmar dan ia hanya akan ditentukan selewat-lewatnya 5 Disember depan,” jelas beliau.
Kim Swee memberitahu, skuad kendaliannya juga bakal berdepan sekurang-kurangnya dua aksi persahabatan kompetitif termasuk menguji kelab divisyen Jepun, FC Ryukyu sebelum ‘terbang’ ke Myanmar kelak.
Dalam aksi Kumpulan A nanti, Harimau Muda A diundi bersama Brunei, Laos, Singapura dan Vietnam.
Finalis 2011, Indonesia pula diundi bersama tuan rumah, Myanmar bersama Thailand, Timor Leste dan Kemboja dalam Kumpulan B.Sumber