[ Terkini ] Calon SPM miliki motosikal curi !

PASIR PUTEH - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), antara lima lelaki yang ditahan polis kerana memiliki motosikal disyaki dicuri dalam Ops Tutup di bawah Ops Cantas Khas di Pekan Selising, di sini, kelmarin.

Mereka yang berusia 17 hingga 28 tahun itu ditahan selepas serbuan dilakukan sepasukan anggota daripada Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh yang diketuai Inspektor Azizul Huzaini Sejani, jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, ketika serbuan ke satu rumah di Kampung Padang Pak Omar dilakukan, pelajar terbabit bersama tiga rakan asyik meleraikan komponen motosikal.

Hasil serbuan itu katanya, tiga motosikal jenis Yamaha 125Z, satu motosikal Honda EX5 dan dua kerangka motosikal berjaya dirampas daripada suspek.

“Pada mulanya, kami memberkas empat lelaki termasuk calon SPM terbabit di belakang rumah dua beradik yang berusia berusia 19 dan 28 tahun.

“Selepas beberapa minit, polis berjaya menahan seorang lagi suspek, dipercayai terlibat dengan aktiviti tersebut,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Selising, semalam.

Mohd Kamal berkata, dua daripada suspek positif dadah dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Undang-undang Am dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1957.

Menurutnya, dengan penangkapan tersebut, polis berjaya mematahkan kumpulan yang dipercayai bergiat aktif di Selising dan kawasan sekitar.

‘Salah seorang suspek membawa anggota ke satu tali air di Kampung Lepah, tempat mereka membuang kerangka motosikal,” katanya.

Ops Cantas Khas bermula jam 3 petang, dengan mengadakan tiga sekatan jalan raya di Pekan Selising itu turut menyaksikan 47 saman dikeluarkan, kebanyakannya atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu, selain empat orang lagi ditahan positif dadah.

“Saya nasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan atau aktiviti anak masing-masing kerana dalam banyak kes, ibu bapa tidak menyangka anak mereka terjebak dalam kegiatan tidak sihat,” katanya.Sumber


1 ulasan:

pulak da? adoii..

p/s isi tabung :)

Reply