[ Sukan ] Gergasi Merah marah sikap Safee Sali !


Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad akui berasa kecewa dengan tindakan penyerang kebangsaan, Safee Sali membuat ‘pusingan U’ untuk kekal bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan dan menerimanya kerana memahami senario bola sepak di negara ini. 

Beliau berkata, sebelum ini FAS bersetuju menerimanya kembali bermain untuk Selangor selepas pemain itu menyatakan kekecewaannya kerana akan diserapkan dalam Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Liga Perdana, musim depan. 

“Semasa pertemuan pertama, Safee menyatakan kekecewaan kerana dia perlu bermain di Liga Perdana. Atas faktor itu, kami bersetuju menerimanya untuk kembali ke Selangor dengan gaji bulanan yang dipersetujui kedua-dua pihak. 

“Bagaimanapun, apabila kami dimaklumkan menerusi pihak ketiga bahawa pengurusan JDT mahu mengekalkan Safee dalam Liga Super, FAS tiada pilihan lain, melepaskan Safee demi kepentingannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

BH Sukan semalam melaporkan Selangor pastinya berputih mata apabila Safee yang tampak masih belum menyengat sepenuhnya memutuskan mahu kekal beraksi bersama JDT di Liga Super musim depan. 

Safee berkata, dia amat teruja untuk kekal beraksi bersama skuad Harimau Selatan di bawah kendalian ketua jurulatih, Cesar Ferrando Jiminez sambil menyatakan betapa tugas bersama skuad itu masih belum selesai. 

Mokhtar berkata, beliau berharap semua pihak khususnya penyokong Selangor memahami situasi terkini dan tidak mencetuskan polemik atau spekulasi dengan menuding jari kepada FAS atas keputusan Safee itu.

“Kalau ikut undang-undang, perjanjian lisan juga dianggap memeterai kontrak dan perancangan FAS membawa Safee ke pejabat untuk majlis ringkas menandatangani kontrak selepas pasukan kebangsaan selesai tugasan antarabangsa menentang Qatar, Selasa lalu, terpaksa dibatalkan,” katanya.Sumber