[ info ] Wan Siti Dan Wan Hasni Penyambung Warisan Seni Patung Wayang Kulit di Kelantan !

TUMPAT (KELANTAN ) - Seni kraftangan menebuk dan mewarna patung wayang kulit yang lazimnya dipelopori kaum lelaki kini dilihat semakin luput ditelan zaman.

Namun, bagi dua remaja Wan Siti Noor Adilah Wan Ismail, 18, dan kakaknya, Wan Hasni, 21, mampu menjadi penyambung warisan seni tradisional itu.


Daripada hobi mengisi masa lapang, kedua-dua beradik itu dari Kampung Gerong di sini, kini mampu menjana pendapatan untuk mereka sekeluarga daripada setiap patung wayang kulit yang dihasilkan mereka.

Mereka mula berjinak-jinak dengan seni kraftangan itu sejak tiga tahun lepas, dengan galakan daripada ayah mereka, Wan Ismail Wan Kar, 55, yang juga pakar menebuk dan mewarna patung wayang kulit.

GANDINGAN YANG DISANJUNGI

Walaupun masih setahun jagung dalam bidang berkenaan, kehalusan seni yang ditunjukkan oleh gandingan dua beradik ini wajar diberi pujian dengan hasil kerjatangan mereka hampir setaraf dengan kerja pakar dalam bidang itu.

Mengenai penglibatan dalam seni menebuk patung wayang kulit, Wan Siti Noor Adilah berkata, ia bermula pada akhir 2010 ketika menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Manakala kakaknya, Wan Hasni, yang ketika itu menunggu keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) pula mempelajari teknik mewarna.

"Kebetulan ayah juga mengambil upah menebuk patung wayang kulit untuk Galeri Wayang Kulit Tradisional Kelantan di Kampung Morak, Kebakat, yang dimiliki oleh Pak Dain (Muhammad Dain Othman, 61). Ketika itu, saya hanya sekadar membantu ayah di rumah, namun ayah mencadangkan agar saya turut belajar menebuk.

"Dalam masa beberapa hari, saya dapat menguasai ilmu menebuk patung wayang kulit daripada ayah. Belajar menebuk senang sahaja, tapi apa yang sukar adalah mencari kehalusan dalam seni kraftangan itu," kata Wan Siti Noor Adilah ketika ditemui di rumahnya.

MENEBUK DAN MEWARNA

Wan Siti Noor Adilah, anak ketiga daripada enam beradik itu berkata terdapat dua saiz patung yang biasa disiapkannya iaitu saiz M yang berukuran 20.3 cm dan 30.5 cm, manakala bagi persembahan pula bersaiz 60 cm dan 76cm meter.

"Walaupun patung kecil dijual dengan harga murah, namun ia masih sukar disiapkan kerana perlu menebuk lubang yang semakin kecil. Sama juga untuk proses mewarna kerana memerlukan ketelitian yang tinggi.

"Saya mampu menyiapkan patung bersaiz M dalam masa tiga hari, manakala patung untuk saiz persembahan pula mengambil masa satu hari," katanya sambil menambah kata antara watak yang sukar disiapkan ialah Seri Rama kerana membabitkan banyak lekuk dan lubang.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pinang itu berkata selain belulang lembu atau kambing, beliau turut menebuk patung wayang kulit di kepingan plastik khas dan ternyata tugasnya semakin sukar kerana kepingan plastik berkenaan mudah retak atau pecah.

"Saya difahamkan ada sesetengah pelancong dari luar negara tak boleh bawa pulang barangan kulit ke negara mereka, justeru Pak Dain yang bekerjasama dengan seorang rakannya, mencari sejenis kepingan plastik untuk ditebuk menjadi patung wayang kulit.

"Jika tidak berhati-hati, kepingan plastik berkenaan akan retak atau lebih teruk, pecah. Ia sekaligus mengurangkan kualiti patung wayang kulit itu, menyebabkannya langsung tidak boleh dijual," kata Wan Siti Noor Adilah sambil menambah beliau mampu memperoleh pendapatan sekitar RM300 seminggu hasil menebuk patung wayang kulit.

KAKAK HEBAT MEWARNA PATUNG WAYANG KULIT

Jika adiknya pakar menebuk, kakaknya, Wan Hasni pula tidak kurang hebatnya apabila seni mewarna yang dilakukannya tambah menghidupkan setiap patung wayang kulit itu.

Wan Hasni berkata, seperti adiknya, beliau turut mengalami beberapa kesukaran terutama berkenaan saiz patung itu sendiri kerana semakin kecil sesebuah patung, maka semakin sukar untuk diwarnakan kerana perlu berhati-hati dengan corak dan bunga yang disiapkan oleh adiknya itu.

"Patung Seri Rama paling sukar diwarnakan terutama yang menggunakan plastik kerana warna tidak cepat kering seperti atas belulang. Saya kena guna teknik tertentu bagi mengelak patung plastik nampak 'berbelang'.

"Pada mulanya, saya mengalami kesukaran untuk mewarna patung jenis plastik itu dan seringkali ia rosak, namun atas bantuan rakan Pak Dain, saya berjaya menguasai teknik mewarna di atas kepingan plastik," katanya.

Wan Hasni berkata walaupun sudah tiga tahun menceburi bidang itu, namun beliau dan adiknya masih lagi dipantau oleh ayah mereka dalam melakukan kerja-kerja menebuk ataupun mewarna bagi menjaga kualiti setiap patung.

"Semasa mula-mula belajar mewarna, banyak patung yang rosak namun hasil tunjuk ajar ayah, saya kini mampu mewarna sekurang-kurangnya tiga patung wayang kulit bersaiz M setiap hari," katanya.

BANGGA GENERASI MUDA BERMINAT

Sementara itu, Pak Dain ketika ditemui berkata beliau mengupah kedua-dua adik-beradik itu selepas melihat hasil kerja mereka yang teliti dan kemas, selain mahu generasi masa kini tidak melupakan akar budaya mereka.

"Untuk menebuk, saya beri upah RM50 hingga RM120, bergantung kepada saiz dan watak patung wayang kulit, manakala bagi mewarna pula RM20 hingga RM50, juga bergantung kepada saiz dan watak.

"Setiap watak wayang kulit mempunyai kesukaran tersendiri untuk disiapkan kerana mempunyai ukiran-ukiran tertentu. Contohnya seperti watak lima pengasuh, iaitu Pak Dogol, Wak Long atau Eteng - mereka mungkin watak yang paling asas, namun jika tidak pakar menebuk, watak itu tidak akan menjadi," katanya.

Pak Dain yang juga bekas Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kelantan berkata selain Wan Noor Adilah, beliau mempunyai empat lagi penebuk patung dan mereka juga diajar seni itu bermula daripada memilih dan mengeringkan belulang kambing atau lembu.

"Selain itu, mereka diajar untuk mengenali 12 jenis mata pahat yang biasa digunakan untuk menebuk, asas melukis patung di atas kertas dan teknik-teknik menghasilkan 'bunga-bunga' di setiap patung.

"Mereka perlu belajar kesemua teori sekurang-kurangnya selama enam bulan, baharulah boleh dikategori sebagai penebuk amatur," katanya.

Pak Dain berkata beliau sering menerima tempahan daripada agensi kerajaan seperti Kraftangan Malaysia ataupun Tourism Malaysia serta beberapa individu tertentu dari luar negara.

"Saya sering mendapat tempahan luar negara seperti dari Sweden ataupun Cyprus. Mereka rata-ratanya pelancong yang pernah mengunjungi bengkel atau laman sesawang saya.

"Saya bangga ada lagi generasi muda masa kini yang masih cintakan seni warisan mereka dan sanggup meluangkan masa untuk belajar. Sejak menceburi bidang perdalangan wayang kulit ini, saya telah melatih kira-kira 12 penebuk termasuk pasangan adik-beradik ini," katanya.Sumber