[ info ] Surau ‘Padang Pasir’ Taman Gambang Damai tunggu rebah !

KUANTAN- Biarpun struktur binaannya hanya sambungan empat buah kanopi berdindingkan kanvas, Surau Al-Ijtihad, Taman Gambang Damai yang terletak di sebuah kawasan lapang kira-kira  10 meter dari Jalan Gambang- Maran dekat sini cukup bermakna kepada penduduk dalam usaha mereka menegakkan syariat Islam.
Surau yang dibina atas sumbangan ahli kariah dengan  serba kekurangan itu bukan sahaja menjadi tempat penduduk bersolat waktu berjemaah, malah di situ juga pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan dilangsungkan.
Dapat gelaran Surau Padang  Pasir
Pengerusi surau, Zulli Muhamad, 47 berkata, surau yang selayaknya digelar ‘Surau Padang Pasir’ itu  didirikan sejak awal September lalu itu selepas pemilik rumah yang disewa untuk tujuan itu meminta premis tersebut dikosongkan, Ogos lalu.
Menurutnya, penduduk tiada pilihan lain selain mencari alternatif membina surau sementara bagi kemudahan masyarakat di situ menunaikan solat waktu berjemaah dan mengadakan aktiviti keagamaan.
“Kami mengambil keputusan membina surau ini di sini (kawasan lapang yang dicadangkan untuk tapak masjid) sementara mendapat tapak sesuai untuk mendirikan surau kekal (dalam proses permohonan).
“Kami di sini amat memerlukan surau kekal yang selesa untuk menjalankan segala aktiviti agama memandangkan kanopi yang didirikan ini boleh dikira sudah ‘tamat tempoh’ dan atap kanvasnya boleh runtuh bila-bila masa,” katanya ketika ditemui di surau itu, semalam.
Tiada tandas, tempat wuduk 
Zulli berkata, surau yang  mampu memuatkan kira-kira 100 jemaah bukan sahaja dikunjungi penduduk malah sebahagian besar pekerja resort, buruh binaan dan pengguna jalan Kuantan- Maran singgah di situ untuk menunaikan solat.
“Surau ini cukup daif tanpa kemudahan tandas dan  tempat wuduk manakala  ruang sembahyang hanya lapisan papan ditutupi karpet usang kira-kira satu kaki dari tanah.
“Ada ketikanya, kanvas terpaksa di bentangkan di atas tanah bagi menampung kehadiran jemaah yang agak ramai terutama apabila ada majlis atau ceramah agama di sini,” katanya.
Beliau berkata, kebelakangan ini pelbagai masalah timbul termasuk air mula menitik masuk dari lubang kanvas yang berlubang, kanvas (dinding) tercabut dan pernah beberapa kali tiang kanopi terangkat akibat ditiup angin kencang,” katanya.
“Bila hujan lebat, kawasan dalam surau dimasuki air menyebabkan beberapa bahagian ruang sembahyang (berkarpet) sentiasa lembap dan berbau,” katanya.
Penduduk tiada pilihan
Menurutnya, penduduk dan jemaah tetap surau itu tiada pilihan lain kerana kemudahan surau yang selesa tiada di kawasan tersebut kecuali Masjid Jamek Gambang yang jaraknya 10 kilometer dan Masjid Matrikulasi, lima kilometer namun tidak dibuka sepanjang masa untuk kegunaan penduduk.
“Bekalan air dan elektrik disambung dari rumah penduduk untuk kegunaan surau ini supaya jemaah dapat berwuduk dan menunaikan solat dengan lebih selesa.
“Kami sendiri tidak pasti sampai bila surau ini mampu bertahan memandangkan musim hujan mula melanda dan kawasan ini pula menjadi laluan angin,” katanya.
Sudah ada permohonan, perbincangan
Beliau berkata, masalah itu sudah diajukan kepada Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Pekan dan beberapa perbincangan dijalankan dengan kadi daerah serta pemimpin setempat.
“Permohonan untuk mendapatkan surau kekal juga sudah dibuat dan kami percaya usaha itu kini dalam pertimbangan pihak berkenaan.
“Isunya sekarang, kami harapkan jawapan positif secepat mungkin sebelum surau yang ada ini rebah menyembah bumi,” katanya.
Lambang sepakat, semangat sukarela penduduk
Sementara itu, Iman surau,  Mohd Saberi Jusoh, 34 berkata, biarpun surau Al- Ijtihad ibarat sebuah bangsal di tengah kawasan lapang, namun fungsinya sama dengan surau-surau lain yang sentiasa dipenuhi pelbagai aktiviti bagi mengimarahkannya.
“Selain solat berjemaah, kita sentiasa mengadakan aktiviti termasuk kelas Al-Quran, ceramah agama dan sebagainya.
“Malah di sini jugalah kami menunaikan solat sunat Aidiladha baru-baru ini dan hari ini (semalam) kami bergotong royong memasak bubur asyura sempena Sambutan Maal Hijrah,” katanya.
Menurutnya, surau itu cukup penting sebagai simbol perpaduan dan ikatan silaturahim penduduk kerana di situlah mereka berkumpul dan mengenali jiran-jiran dengan lebih dekat.
“Surau ini juga bukti kesepakatan dan keikhlasan penduduk menegakkan syiar Islam atas semangat sukarela.
“Tugas kami di sini sama ada sebagai imam, bilal, siak, dan sebagainya adalah sukarela malah kos pengurusan surau, aktiviti agama juga hasil sumbangan ikhlas bersama di samping sumbangan beberapa pihak lain yang bermurah hati tanpa peruntukkan daripada mana-mana agensi kerajaan,” katanya.


3 ulasan

kena cepat2 rectified ni...

Reply

Kesiannya... diharap mereka akan dpt surau baru secepat yg mungkin

Reply