Wan Zack Haikal cedera lagi , terpaksa berehat 6 bulan !


Skuad Harimau Malaya mahupun Harimau Muda menerima tamparan hebat apabila dikejutkan dengan kecederaan bintang muda, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Wan Zack mendapat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) semasa menjalani latihan bersama kelabnya, FC Ryukyu di Jepun, semalam yang akan merehatkannya selama sembilan bulan untuk pulih.

Lebih malang, berita sedih itu muncul menjelang kelayakan Piala Asia 2015 dan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA pada tahun ini.

Perkara yang menimpa pemain kebangsaan itu disahkan sendiri melalui akaun Twitter Wan Zack.
Ketiadaan pemain berusia 22 tahun dari Maran, Pahang itu pasti akan menjejaskan sebahagian besar kekuatan Harimau Malaya dan Harimau Muda.

Pemain terbaik kejohanan Pestabola Merdeka 2013 edisi ke-41 itu dilihat seperti sukar menerima hakikat apabila dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya mengenai kecederaan ACL itu sehingga mendorongnya meminta maaf kepada semua peminat.

Orang yang mungkin paling merasai ketiadaan Wan Zack sudah tentu pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee, yang telah dihubungi Naib Presiden Eksekutif FC Ryukyu, Sotaro Shinoda tetapi beliau mahu menunggu laporan perubatan secara rasmi sebelum berkata apa-apa.
'
'Buat masa ini saya tidak boleh mengatakan Wan Zack telah terkeluar daripada perancangan saya untuk ke Sukan SEA 2013 di Myanmar walaupun memang saya akui dia memiliki peluang tipis jika benar dia mendapat kecederaan ACL.

"Bagaimanapun, saya mahu menunggu terlebih dahulu laporan penuh berhubung status kecederaan Wan Zack dari pihak FC Ryukyu dan kita akan umumkan status Wan Zack dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Berita mengenai kecederaan Wan Zack juga mengundang resah kepada jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang berdepan misi penting menentang Bahrain pada 15 Oktober ini di Stadium Shah Alam selain perlawanan persahabatan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Isnin depan di Shenzhen, China.