Piya fokus bantu Kelantan , tidak tersenarai dalam skuad Harimau Malaya !


Tindakan pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal mengetepikan Mohd Badhri atau dikenali Piya itu sekali gus meninggalkan tanda tanya peminat bola sepak tempatan mengenai peluang pemain tengah Kelantan itu untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang.

Namun, Mohd Badhri kekal positif dan menganggap keputusan yang ditetapkan Rajagobal itu berdasarkan keperluan pasukan yang mana mungkin beliau tidak termasuk dalam percaturan dirancang.

Beliau yang juga tidak kisah dengan keputusan itu turut menegaskan misi seterusnya adalah untuk persiapan mengekalkan Piala Malaysia bagi pasukan TRW.

“Terpulanglah dia (Rajagobal) nak panggil atau tidak,  saya tidak rugi apa-apa,  saya pun senang kalau tidak dipanggil kerana boleh fokus untuk Piala Malaysia,” katanya.

Beliau diminta mengulas berkenaan ketiadaan namanya membarisi pasukan skuad kebangsaan kali ini untuk bersama 28 pemain lain  termasuk empat rakan sepasukan iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, pemain pertahanan, Nik Mohd Shahrul Azim Abd Halim, pemain tengah, Mohd Shakir Shaari dan penyerang, Ahmad Fakri Saarani.

Walaupun terpaksa menghampakan harapan peminat untuk melihat dia beraksi bersama skuad kebangsaan, jeneral padang  itu berkata, beliau menghormati keputusan Rajagobal dan percaya pilihan pengendali utama skuad kebangsaan itu mempunyai kelebihan tersendiri.