Mahkamah ingatkan Zed Zaidi berhati-hati jawab soalan - Perbicaraan Kes Saman !


Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkali-kali diingatkan supaya berhati-hati menjawab soalan peguam kerana beliau merupakan antara yang disaman oleh bekas bendahari persatuan itu, Abu Bakar Omar dan empat yang lain.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop yang mendengar perbicaraan masuk hari ketiga hari ini mengingatkan Zed Zaidi atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jalil supaya mendengar dan memahami soalan dengan betul sebelum memberikan sebarang jawapan.

"Kamu faham atau tidak soalan atau sengaja hendak main-main di sini,'' tegas Rosilah.
Pertanyaan itu diajukan beliau setelah Zed Zaidi berkali-kali tidak menjawab soalan barisan peguam yang mewakili Abu Bakar dan empat yang lain selaku pihak plaintif dalam perbicaraan tersebut.

Dalam saman yang difailkan pada 25 Januari lalu, Abu Bakar, Sahlan Sudiran (S. Sahlan), Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani (Sonny Abdullah) menamakan Seniman dan bekas presidennya, Harun Salim Bachik, Omar Kamarudin @ Yusof Kelana dan Wafa A. Kadir defendan pertama hingga empat.

Zed Zaidi, Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Syean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab) turut disenaraikan sebagai defendan kelima hingga kelapan. Pihak defendan diwakili peguam Mohd. Yusni Yussof, Suhaimi Saad dan Zahrin Ishak.

Menurut pernyataan tuntutan, defendan kedua, ketiga dan keempat merupakan Presiden, Setiausaha, Bendahari Seniman bagi sesi 2009/2012 sementara defendan kelima ketika itu Pemangku Timbalan Presiden manakala defendan keenam pula, salah seorang ahli jawatankuasa persatuan.

Pihak plaintif menuntut perisytiharan antaranya mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-14 Seniman pada 26 Mei 2012 sebagai terbatal dan tidak sah selain menuntut perintah agar RM56,000 dibayar kepada Seniman dalam tempoh sebulan oleh defendan kedua hingga keempat.

Pihak plaintif yang diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud, Muhd. Azmi Talib, Yusfarizal Yussof dan Majdah Muda juga menuntut ganti rugi am serta ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Zed Zaidi dalam keterangannya menyatakan, beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam plaintif yang menganggap beliau sengaja tidak mengemukakan data-data berkaitan keahlian Seniman kepada mahkamah bagi memastikan jumlah sebenar ahli persatuan itu.

Artis tersebut juga tidak bersetuju dengan Wan Rohimi yang menyatakan tindakan Abu Bakar membangkitkan perkara-perkara berkaitan kebajikan ahli bukannya suatu tindakan yang bersifat mengganggu perjalanan AGM Seniman.

Menurut Zed Zaidi, beliau setuju bahawa perbezaan pendapat merupakan satu perkara yang biasa namun perkara tersebut dibangkitkan oleh orang yang sama.

"Abu Bakar sengaja membuat kecoh dan dia sahaja yang hendak bercakap,'' katanya.
Zed Zaidi selaku saksi kelima dan terakhir pihak defendan juga tidak bersetuju apabila dikatakan beliau telah meminggirkan golongan veteran dalam pemilihan tersebut.

Selepas mendengar keterangan Zed Zaidi, Rosilah menetapkan 18 Oktober ini untuk pihak plaintif dan defendan memfailkan hujahan bertulis masing-masing dan jawapan kepada penghujahan hendaklah difailkan pada 24 Oktober.

Menurut Rosilah, mahkamah pada tarikh tersebut akan menetapkan tarikh keputusan kes itu.- Sumber