Kerajaan sedia subsidi 15,000 - 20,000 bolehkan rakyat beli rumah mampu milik !



KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan subsidi antara RM15,000 dan RM20,000 bagi membolehkan rakyat membeli rumah mampu milik, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. 

Beliau berkata Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan membina tiga jenis rumah mampu milik dengan tiga bilik tidur berharga RM65,000, RM55,000 dan RM45,000. 

"Bagi rumah berharga RM65,000, kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000. Bagi kediaman berharga RM45,000, subsidi yang disediakan sebanyak RM15,000," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar acara Simposium Zakat Perniagaan Nasional 2013 di sini. 

Beliau juga berkata Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen 25 Okt ini merupakan bajet 'mesra rakyat' yang memberi tumpuan ke atas kediaman mampu milik dan pembangunan infrastruktur. 

Ahmad Husni berkata kerajaan juga mahukan SPNB menjadi pemaju rumah mampu milik berskala besar untuk rakyat, membina banglo dengan harga jualan kira-kira RM250,000, selain rumah berkembar dua dan rumah teres, masing-masing berharga RM100,000 dan RM80,000. 

"Kerajaan juga akan menekankan pembangunan infrastruktur dalam bajet akan datang, terutama di kawasan yang kurang mendapat akses bekalan elektrik, air dan jalan," katanya.