[ info ] Tok Gajah pilihan Datuk Ong Kim Swee Juara Piala Malaysia 2013 !

Status juara bertahan dan pengalaman luas beraksi di pentas akhir tidak membuatkan pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee ghairah meramalkan Kelantan sebagai favourite untuk menjulang Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Sebaliknya, beliau memilih skuad kendalian Dollah Salleh, Pahang untuk muncul juara atas satu faktor iaitu Kelantan akan turun tanpa tunjang utama di bahagian pertahanan, Obinna Nwaneri dan aspek itu akan memberi kelebihan kepada pasukan Tok Gajah.

Perbandingan antara dua penyerang import, Matias Conti (Pahang) dan Dickson Nwakaeme (Kelantan) juga memihak kepada Pahang dengan Kim Swee berasakan kualiti yang ada kepada pemain yang berasal Argentina itu lebih baik dan akan memberikan banyak masalah kepada Kelantan.

‘‘Pada mulanya, saya anggap Kelantan adalah pilihan untuk menang, namun tanpa Obinna yang tidak boleh beraksi di perlawanan akhir, saya memilih Pahang untuk muncul juara.

‘‘Kelantan dengan ketiadaan Obinna akan memberikan impak yang besar di bahagian pertahanan dan ia akan menjadi kelemahan ketara mereka semasa menentang Pahang nanti.

‘‘Situasi itu pasti akan memudahkan penyerang import Pahang, Matias Conti untuk merobek kubu Kelantan, bagi saya dia (Conti) adalah penyerang yang cukup tajam di hadapan pintu gol dan ada skil tersendiri," katanya ketika dihubungi, semalam.

Walaupun kemungkinan Nik Shahrul Mohd. Azim akan digandingkan dengan Azizi Matt Rose, Kim Swee berasakan dengan baki masa yang tinggal, sukar buat Kelantan membentuk gandingan mantap di bahagian pertahanan tengah.

‘‘Dalam masa seminggu yang tinggal ini, saya rasa sedikit sukar membentuk keserasian antara mereka berdua dan tidak banyak boleh diharapkan, sememangnya kehadiran Obinna cukup penting untuk mengemudi bahagian pertahanan," katanya.

Pandangan Kim Swee itu berbeza dengan beberapa jurulatih seperti B. Sathianathan, Ismail Zakaria dan Mohd. Azraai Khor yang memihak kepada Kelantan dengan menyifatkan kekuatan bahagian tengah dan serangan akan menjadi senjata utama Red Warriors.

Namun, tidak bagi Kim Swee yang berpendapat kepantasan dimiliki gandingan dua ‘R’ iaitu R. Gopinathan dan R. Surendran boleh memerangkap Kelantan seperti mana dilakukan oleh ATM pada saingan separuh akhir.

‘‘Dua pemain, Gopinathan dan Surendran saya jangka akan beri banyak masalah kepada Kelantan nanti, lihatlah sahaja ATM menerusi Christie Jayaseelan dan Venice Elphi baru-baru ini banyak kali mampu meloloskan diri daripada pertahanan.

‘‘Jika Dollah dapat menggunakan kelebihan di bahagian ini, saya fikir Pahang ada ramuan untuk muncul juara di samping saya turut dapati Pahang lebih seimbang di segenap posisi sementara Kelantan dominan di bahagian tengah," katanya.