[ info ] ‘‘Jaga Molek Negeri Kito’, Pesan Tok Guru !

KOTA BHARU : “Kena jaga molek negeri kito, jangan ado daripada kito hok wak kuca (buat kacau), jangan, dosa besar, jaga molek suasana dan keadaan negeri hok kita pelihara ini,” ucap Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Majlis Himpunan Rakyat sempena ulang tahun ke-23 pemerintahan Pas di negeri ini, semalam.
Nik Aziz berkata, pemerintahan berlandaskan Islam perlu dijaga bagi memastikan akidah dan kepercayaan umat Islam tidak terpesong daripada landasan sebenar agama suruhan ALLAH SWT.
Beliau yang kini menyerahkan tugas rasminya kepada Datuk Ahmad Yakob selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu hanya mengalas tanggungjawab sebagai Adun Chempaka selain jawatan sebagai Mursyidul Am Pas.
Majlis himpunan rakyat itu diadakan untuk memberi penghormatan kepada veteran ulama negeri dan bersempena sambutan kelahiran kerajaan “Membangun Bersama Islam” dengan tema Jasa Dikenang, Amanah Disandang.
Setiausaha Pas negeri selaku pengerusi penganjur, Zulkifli Mamat berkata, majlis tersebut juga memperlihatkan bagaimana rakyat menghormati pemimpin ulama serta menghargai keamanan negeri yang dijaga sejak diambil alih daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN) Oktober 1990 dulu.
“Alhamdulillah kerjasama yang diberikan semua pihak hari ini amat memberangsangkan, keempat-empat program yang dimulakan dengan Qiamullail program bersama penjawat awam serta kemuncaknya persembahan rakyat berjalan dengan lancar sebagaimana yang dirancang,” katanya.
Persembahan yang bercorak hiburan rakyat itu disertai pelbagai kaum dan etnik negeri ini dan dalam masa yang sama lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) memberi cenderamata kenangan kepada Nik Aziz, yang dibalas dengan pemberian sapu tangan bermotifkan Putrajaya daripada Mursyidul Am itu.
Majlis tersebut mendapat sokongan daripada semua agensi negeri terutamanya Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar raya Islam (MPKB-BRI), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan semua badan berkanun yang terlibat.