Harimau Malaya tak gentar hadapi Bahrain !


Skuad Harimau Malaya tidak gentar berdepan Bahrain pada perlawanan peringkat Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, malam ini .

Pengendali Harimau Malaya Datuk K Rajagobal berkata skuad negara perlu menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri dengan mempamer perlawanan yang kompetitif untuk mengetepikan Bahrain bagi mengutip tiga mata penuh.

"Saya telah ingatkan semua pemain kita supaya berusaha dengan bersungguh-sungguh serta melakukan persembahan terbaik pada perlawanan esok," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus sempena Perlawanan Pusingan Kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Bahrain di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Isnin.

Rajagobal berkata perlawanan esok penting buat Malaysia kerana kemenangan ke atas Bahrain membolehkan skuad Harimau Malaya layak ke saingan Piala Asia 2015 di Australia.

Malaysia kini menduduki tangga keempat dalam Kumpulan D dengan kutipan tiga mata selepas mengharungi dua perlawanan iaitu tewas 0-2 kepada Qatar dan menang 2-1 ke atas Yaman.

Bahrain pula mengungguli Kumpulan D dengan kutipan enam mata selepas mencatat dua kemenangan apabila menewaskan Yaman 2-0 dan Qatar 1-0.

Malaysia dijadual bertemu Bahrain pada perlawanan timbal balik di Stadium Nasional, Manama pada 5 Nov depan.

Sementara itu, Ketua Pasukan Harimau Malaya Safiq Rahim berkata Bahrain merupakan pasukan yang kuat namun skuad negara akan berusaha mencari kemenangan esok.

"Kita harap mampu untuk melakukan persembahan terbaik esok dan dapat mengatasi Bahrain," katanya.

Sementara itu, jurulatih Bahrain Anthony Hudson berkata pasukannya perlu fokus untuk menang ketika menentang Malaysia hari ini .

"Kami tidak mahu memandang rendah keupayaan Malaysia kerana mereka memiliki pemain yang bagus seperti Safee Sali... kami perlu berhati-hati dalam perlawanan esok," katanya.-Bernama