Geng penyamun ajak main futsal sebelum rompak mangsa !

Gambar Hiasan
Ampang: Umpan futsal. Itu taktik digunakan sekumpulan lelaki memperdaya dua remaja lelaki berusia 15 tahun sebelum menyamun mereka, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, dua remaja terbabit sedang bermain bola di bawah pangsapuri mereka di Jalan Pudu, Cheras, sebelum dihampiri sekumpulan lelaki yang menaiki kereta dan motosikal.
Menurut sumber, penunggang motosikal berusia 20-an itu kemudian mengajak mangsa bermain futsal. Mangsa bersetuju dengan ajakan itu dan diarah menaiki kereta rakan lelaki terbabit.

“Mangsa dibawa ke sebuah padang futsal di Pandan Perdana. Sebaik kedua-dua remaja itu keluar dari kereta, pemandu dan penunggang motosikal berkenaan terus memegang mereka,” katanya.
Katanya, kedua-dua lelaki itu mengarahkan remaja itu menyerahkan barang berharga sekiranya tidak mahu dicederakan.

“Bagaimanapun seorang remaja itu enggan berbuat demikian menyebabkan dia dibelasah dan ditendang. Telefon bimbit dan wang tunai RM50 mangsa turut dirampas,” katanya.

Bukan itu saja, mangsa turut dipaksa berlari mengelilingi padang sebelum lelaki itu melarikan diri.
Sumber berkata, mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.