Gara-gara didukung semasa melawat Banjir , pegawai dipecat !

Seorang pegawai kerajaan di China dipecat selepas dia dilihat didukung seorang penduduk ketika mengharungi banjir di bandar yang dilanda taufan kerana bimbang kasutnya rosak.
Gambar pegawai dikenali sebagai Wang itu mencetuskan kemarahan apabila ia dimuat turun di laman media sosial China, Sina Weibo.

Gambar itu diambil ketika Wang mengunjungi bandar Yuyao, di Zhejiang sewaktu kawasan terbabit dinaiki air bah selepas dilanda taufan hingga meragut 10 nyawa.

Menurut agensi berita kerajaan Xinhua, keterangan gambar di bawah foto mendakwa Wang didukung kerana dia memakai sepasang kasut mahal yang dibuat daripada kain.

Bagaimanapun, majlis perbandaran Sanqishi yang juga majikan tempat Wang bekerja, mendakwa dia sudah dimaklumkan agar menanggalkan kasutnya untuk berjalan kaki ayam meredah air ketika ke kediaman mangsa banjir.
walaupun Wang bertegas mahu berjalan, penduduk tempatan tetap mendukungnya ketika mengharungi air banjir, Wang didukung kali kedua oleh lelaki sama ketika kumpulan petugas perbandaran meninggalkan kediaman itu. 


Sama ada Wang ingin berjalan kaki seperti mana dinyatakan dalam laporan itu atau sebaliknya, berita yang tersebar di Internet beserta fotonya yang dimuat turun menyaksikan dia kemudian dipecat sebagai pengarah pejabat pembinaan majlis perbandaran.